CAEXPO: Malaysia catat rekod jualan RM639.99 juta

Nursyazwani Saiful Sham
September 15, 2018 20:23 MYT
YEW CHEE: Untuk tahun ini Malaysia mencapai sasaran jualan yang mengejutkan apabila mencapai dengan kadar jualan yang paling tinggi setakat ini. -Astro AWANI/Siti Nursyazwani
Penyertaan usahawan Malaysia di Ekspo China Asean (CAEXPO) ke-15 di sini yang berakhir hari ini mencatatkan rekod jualan bernilai RM639.99 juta melebihi sasaran RM450 juta.
Menurut Pengarah Unit China Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Ong Yew Chee, pencapaian Malaysia menerusi hasil jualan yang di luar jangkaan membuktikan produk tempatan mempunyai potensi dan dapat diterima oleh pasaran China.
“Untuk tahun ini, Malaysia mencapai sasaran jualan yang mengejutkan apabila mencatat kadar jualan paling tinggi setakat ini.
“Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 58 peratus dan ini merupakan pertama kali peningkatan setinggi itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup CAEXPO ke-15 di Nanning International Convention and Exhibition Centre, Wilayah Guanxi, China pada Sabtu.
Sektor kesihatan dan kecergasan antara penyumbang terbesar kepada kenaikan kadar jualan sehingga RM372.21 juta berbanding RM119.22 juta tahun sebelumnya.
Ia diikuti dengan sektor makanan dan minuman dengan kadar jualan RM218.91 juta dan sektor gaya hidup dengan kadar jualan RM43.6 juta.
Selain dari mentengahkan produk tempatan, platform CAEXPO kali ke-15 juga adalah platform buat usahawan anak muda menerokai pasaran antarabangsa.
Bagi usahawan muda ini mereka perlu merebut peluang untuk meneroka pasaran baharu, dan mempelbagaikan produk mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut Pengarah Azizah Paste, Amirah Faizoull, CAEXPO adalah platform untuk mengetengahkan produk makanan tempatan.
“Setakat ini penerimaan pengunjung China sangat memberangsangkan kerana mereka mempunyai cita rasa yang lebih kurang sama dengan cita rasa tempatan,” ujarnya.
Tambahnya, anak muda perlu terus berusaha dan jangan pernah mengalah untuk kembangkan perniagaan mereka ke persada dunia.
Matrade mengetuai 174 delegasi syarikat Malaysia yang mengisi 180 ruang pameran di CAEXPO 2018 di Nanning International Convention and Exhibition Centre, Wilayah Guanxi, China selama empat hari bermula 12 September lalu.
#CAEXPO #Ekspo China Asean #Matrade #Ong Yew Chee #Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia #Sektor kesihatan #usahawan Malaysia
;