Cadangan NUFAM bela nasib kakitangan MAS dibawa ke Kabinet - Khairy
Hamzah Hamid
Mei 28, 2015 08:16 MYT
Mei 28, 2015 08:16 MYT
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan membawa cadangan Persatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mengenai status pakej penempatan semula pekerjaan bagi ribuan kakitangan Malaysia Airlines (MAS) yang berdepan kemungkinan diberhentikan tugas, ke Kabinet pada Jumaat ini.
Dalam perjumpaan tertutup antara Pemuda UMNO dan NUFAM di ibu negara pada Rabu, Khairy memberitahu pihaknya telahpun menerima cadangan daripada NUFAM yang mendesak pentadbir MAS iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) memberi perhatian penuh terhadap kebajikan dan masa depan lebih 6,000 kakitangan MAS yang dijangka terlibat.
"Setakat ini semua pihak masih tertanya-tanya apakah isi pelan penempatan semula tersebut.
"Kita difahamkan antara usaha Khazanah adalah memberi tawaran penyerapan ke syarikat baharu dan juga peluang kontrak pekerjaan jangka masa pendek.
"Namun, bagaimana pula dengan nasib mereka yang ditamatkan perkhidmatan tanpa sebarang tawaran?" Kata Khairy.
Ketidakpastian tersebut, menurut Khairy, menimbulkan banyak tanda tanya berikutan kumpulan kakitangan itu perlu diperjelaskan lagi mengenai hal berkenaan pampasan, latihan dan status penempatan semula pekerjaan.
"Kita mengharapkan perkara ini dapat bertemu jalan penyelesaian yang paling wajar dan menyenangkan semua pihak.
"Kakitangan ini mempunyai kemahiran khusus dalam bidang perkhidmatan penerbangan dan tidak mudah untuk mereka memulakan pekerjaan baharu yang di luar skil mereka.
"Kita perlu akui, kakitangan ini bukan saja berkhidmat dengan MAS, malah mereka semua telah berkhidmat kepada negara," jelas Khairy.
Sementara itu, Presiden NUFAM Ismail Nasaruddin memberitahu pihak MAS telah menarik semula surat pemberhentian yang diumum sebelum ini untuk membuat pengubahsuaian dalam pakej yang ditawarkan.
"Ini adalah satu petanda bahawa mereka mahu memberi penambahbaikan manfaat kepada kakitangan yang berdepan pemberhentian perkhidmatan.
"Bagaimanapun, perkara yang kami mahu ketengahkan adalah mengenai proses selepas kakitangan itu dihentikan tugas," ujar Ismail yang berterima kasih atas keprihatinan Pemuda UMNO dalam mengetengahkan usul tersebut.
Katanya, pihak NUFAM menerima banyak pertanyaan dan aduan daripada kakitangan yang bimbang tentang nasib mengenai tanggungan, kewangan dan masa depan mereka.
"Mereka ini kita tahu, ada yang merupakan ibu tunggal malah pasangan suami isteri yang telah berkhidmat dengan MAS sekian lama. Bagaimana kalau kedua-duanya diberhentikan?" ujar Ismail.