Cadangan MWEZ sebagai projek nasional akan dibawa ke peringkat teknikal - Tok Pa
Hasimi Muhamad
Januari 21, 2022 20:42 MYT
Januari 21, 2022 20:42 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menjadikan Pembangunan Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ) sebagai projek nasional akan dibincangkan di peringkat teknikal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia antara hasrat utama Kerajaan Negeri Melaka dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
"Cadangan M-WEZ sudah pun dibentangkan pada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN). Jadi pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan mengadakan perbincangan di peringkat teknikal sebelum diangkat ke peringkat lebih tinggi.
"Jadi Ketua Pengarah EPU dan saya akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Melaka macam mana nak menghalusinya lagi, dan ia sudah pun dibentang kepada saya. Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pun sudah dimaklumkan.
"Jadi negeri Melaka mohon pertimbangan, mereka menyatakan bahawa hampir keseluruhan Malaysia mempunyai koridor wilayah. Jadi apa yang kita buat kita menghalusi cadangan ini, EPU akan menerajui dan kita akan berjumpa di peringkat teknikal.
"Selepas itu, Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) akan berbincang dengan Perdana Menteri selepas kita berbincang di peringkat teknikal," katanya dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), di sini pada Jumaat.
MWEZ mempunyai lima kluster iaitu Melaka harbourfront, logistik pintar nukleus, perbandaran satelit digital, taman perniagaan pusat ekonomi serta perbandaran perdagangan nukleus.
Sementara itu, Sulaiman berkata penubuhan MWEZ adalah 'game changer' bagi memperhebatkan lagi Melaka bukan sahaja sebagai sebuah negeri pelancongan, tetapi juga sebagai pusat perniagaan.
"Maka kita tidak boleh bergantung kepada pelancongan hujung minggu, kita mesti menjadikan Melaka ini seperti Singapura atau Pulau Pinang.
"Itu sebabnya saya tubuhkan MWEZ, ia merupakan satu perbadanan yang telah kita angkat dan telah pun diluluskan (oleh MPFN).
"Kita bangunkan kawasan seluar 15,000 ekar untuk menjadi sebuah pembangunan yang lestari dan mampan. Ia akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat," ujarnya.
Selain menjadikan MWEZ sebagai projek nasional, Kerajaan Negeri Melaka menerusi Plan Ketiga (RP3) RMK-12 berhasrat menaik taraf dan membina jalan empat lorong persisiran pantai dari Hatten City ke Semabok, Daerah Melaka Tengah, dan membina dua Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Putat dan Sungai Durian Tunggal.