Cadangan mekanisme harga RON95 tidak berdaya maju
Bernama
Januari 6, 2016 14:40 MYT
Januari 6, 2016 14:40 MYT
Cadangan mekanisme harga baharu bagi RON95 berasaskan kos pengeluaran sebenar kilang penapisan minyak Malaysia dalam denominasi ringgit, tidak berdaya maju.
Ini disebabkan keperluan bahan api di negara ini masih dipenuhi oleh import dalam dolar US, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Malah, beliau berkata rangka kerja penentuan harga semasa menerusi sistem apungan terurus berasaskan Mekanisme Harga Automatik (APM), menyaksikan penurunan harga runcit.
Mohd Irwan berkata demikian dalam artikelnya bertajuk 'Mengapa harga runcit produk petroleum tidak turun sebanyak atau secepat harga minyak mentah?' yang dikeluarkan di sini hari ini.
"Malah dalam rangka kerja penentuan harga sedia ada, harga runcit RON95 turun tujuh kali manakala diesel turun lima kali berbanding antara Disember 2014 dan Januari 2016, sejak pelaksanaan berasaskan sistem apungan terurus APM.
"Berbanding harga RON95 bagi Disember 2014, harga runcit RON95 pada Januari 2016 turun 18 peratus, manakala harga runcit diesel turun 28 peratus dalam tempoh yang sama," katanya.
Mohd Irwan berkata pengurangan ini agak selari dengan kuantum pengurangan kos produk bertapis dan turut mengambil kira faktor kadar pertukaran.
Beliau berkata harga runcit terkini seliter petrol RON95 ditetapkan pada RM1.85, RON97 RM2.25 dan RM1.60 diesel, adalah jauh lebih rendah berbanding harga runcit di beberapa negara lain di rantau ini.
Mengenai kaitan dengan minyak mentah, Mohd Irwan berkata harga produk petroleum di peringkat runcit tidak mempunyai kaitan langsung dengan harga minyak mentah.
Beliau berkata harga runcit mengikuti rapat harga produk bertapis yang mungkin berbeza-beza bagi setiap jenis produk berlainan.
Sebagai contoh, dalam tempoh Januari 2015 hingga Disember 2015, kos produk bertapis untuk RON95 adalah lebih tinggi berbanding harga minyak mentah sebanyak US$5 hingga US$20 setong, manakala bagi diesel harganya antara US$5 dan US$15 setong.
Kos produk bertapis yang lazimnya digunakan di rantau ini merujuk kepada 'harga purata kaedah Platt Singapura (MOP)' dalam denominasi dolar US.
Dalam konteks Malaysia, harga runcit produk petroleum, iaitu petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) ditetapkan menerusi APM yang dilaksanakan sejak 2 April 1983.
Mohd Irwan berkata harga minyak mentah di pasaran dunia jatuh dari harga puncak pada US$110 setong pada Jun 2014 kepada US$37 setong pada Disember 2015, terutama disebabkan oleh lebihan bekalan.
Harga turun hampir 66 peratus dalam tempoh kurang dari 18 bulan yang mencemaskan negara yang bergantung kepada hasil minyak.
Pengeluaran minyak syal pada skala yang besar oleh Amerika Syarikat dikatakan turut menyumbang kepada aliran harga menurun minyak mentah.
Walaupun terdapat penurunan ketara harga minyak mentah sehingga 66 peratus dalam tempoh 18 bulan lepas (Julai 2014-Disember 2015), ia tidak melibatkan produk bertapis, kata Mohd Irwan.
"Kos produk yang digunakan dalam pengiraan harga runcit berasaskan APM merupakan kos produk minyak bertapis dan bukannya harga minyak mentah. Kos produk bertapis bagi RON95 hanya susut 22 peratus, daripada US$73 setong pada Disember 2014 kepada US$57 setong pada Disember 2015."
Mohd Irwan berkata kadar yang lebih perlahan dalam penurunan harga runcit juga diburukkan oleh penyusutan nilai ringgit berbanding dolar US.
Kadar purata tukaran berbanding dolar US susut nilai sebanyak 23 peratus dari Disember 2014 (RM3.51) berbanding Disember 2015 (RM4.32).