Cadangan bon IJM Corp perlu kelulusan Scomi Group
Astro Awani
Januari 2, 2013 15:52 MYT
Januari 2, 2013 15:52 MYT
Cadangan terbitan bon 110 juta ringgit kepada IJM Corp perlu mendapat kelulusan pemegang saham SCOMI Group terlebih dahulu sebelum ia dapat diterbitkan.
Menurut pemerhati pasaran cadangan terbitan bon itu adalah sebahagian daripada penstrukturan yang dilaksanakan oleh SCOMI Group, yang akan menyaksikan IJM Corp muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar di dalam SCOMI.
IJM Corp kini memiliki 9.0 peratus saham yang belum dilunaskan selepas ia melanggan penempatan persendirian berjumlah RM33 juta.
Sebelum ini, IJM Corp telah membeli dan membayar bagi mendapatkan kepentingan kurang 10 peratus di dalam SCOMI Group.
Sebagai sebahagian daripada urus niaga itu, IJM Corp perlu mendapatkan tambahan 15 peratus dengan melanggan kertas hutang bernilai RM110 juta yang akan diterbitkan oleh SCOMI Group.
Suruhanjaya sekuriti, melalui suratnya bertarikh 13 Disember, 2012, telah meluluskan cadangan terbitan bon itu.
Namun SCOMI Group masih belum memutuskan tarikh mesyuarat agung luar biasa bagi mencabut undi kelulusan.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOMI Group, Shah Hakim Zai dan beberapa pihak berkaitan memiliki 51 peratus hak mengundi.
Namun begitu, IJM Corp yang kini mempunyai 10 peratus pegangan dalam SCOMI, tidak layak mengundi dalam AGM itu nanti kerana ia merupakan pihak berkepentingan.