Cadang kerajaan tubuh institusi pengajian dan bank khusus untuk wanita - Rina Harun
Hasimi Muhamad
Mac 8, 2021 12:05 MYT
Mac 8, 2021 12:05 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan intitusi pengajian dan bank khusus untuk wanita.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia bagi membolehkan agenda pemerkasaan wanita dapat dipertingkatkan pada masa depan.
“Saya kira ini sudah tiba masanya untuk kerajaan menubuhkan institusi pengajian dan bank khusus untuk wanita bagi membawa agenda pemerkasaan wanita lebih jauh ke hadapan.
“Ia sekaligus memberi ruang membangunkan potensi anak-anak gadis kita sebagai peneraju pembangunan negara,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Wanita, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rina berkata kementeriannya juga sedang merangka beberapa inisiatif dalam usaha memperkasakan wanita pada masa depan.
Jelas beliau, berdasarkan hasil tinjauan Institut Sosial Malaysia pada Julai tahun lalu mendapati rata-rata wanita memerlukan sokongan berbentuk kursus atau kemahiran yang memberikan mereka peluang menjana pendapatan.
“Kerangka ini akan menjadi asas kepada pembentukan program pemerkasaan wanita yang mana antara fokus pelaksanaan bagi 2021 termasuk pertama, meningkatkan kerjasama erat dengan lebih ramai pihak dalam aspek perlindungan wanita.
“Ini termasuklah memperkasakan perlibatan komuniti dalam menyokong keperluan rakyat dari sudut psikososial. Kedua, meningkatkan peluang menjana pendapatan dan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran terutamanya dalam kalangan wanita B40 melalui pelbagai saluran kerja.
“Selain itu memperkukuhkan jaringan komunikasi dan maklumat antara kementerian dengan kumpulan sasar sehingga ke peringkat akar umbi melalui kolaborasi dengan lebih ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, Rina menyeru semua pihak agar menjadikan isu kesaksamaan gender sebagai agenda penting dalam setiap polisi yang dibangunkan dan pelaksanaan program masing-masing.
Katanya, kebangkitan peranan wanita bukan untuk mencabar peranan yang dimainkkan oleh kaum lelaki, sebaliknya ia bertujuan untuk saling lengkap-melengkapi.
*Sempena Hari Wanita Sedunia 2021, Astro AWANI mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua kaum Hawa di mana sahaja anda berada. #ChooseToChallenge
#hari wanita
#Rina Harun
#pemerkasaan wanita
#Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
#Bank khas untuk wanita
#Institut Sosial Malaysia
#Kemahiran untuk wanita