Busan World Expo 2030 dijangka jana impak ekonomi bernilai US$42.5 bilion

Bernama
Oktober 30, 2022 11:00 MYT
Kerajaan Korea Selatan dan bandar Busan secara rasmi menyerahkan cadangan untuk menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2030 pada 7 September lepas kepada sekretariat BIE di Paris.
BUSAN: Ekspo Dunia 2030 (The 2030 World Expo) di Busan dijangka menjana impak ekonomi bernilai 61 trilion won (US$42.5 bilion) untuk Korea Selatan dan melonjakkan bandar itu menjadi sebuah hab global merentasi pelbagai sektor.
Pengarah Bahagian Bantuan Ekspo Luar Negara Busan Metropolitan City, Lee Seung Woo berkata hos Ekspo Dunia yang dijangka diumumkan pada November 2023, secara tidak langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan menarik peluang pelaburan dari luar negara.
"Kira-kira 35 juta orang dari 200 negara dijangka melawat ekspo itu dalam tempoh enam bulan. Kesan ekonomi diunjurkan bernilai 61 trilion won dan menawarkan sebanyak 500,000 peluang pekerjaan.
"Kami menjangkakan kesannya tiga kali ganda lebih besar daripada Sukan Olimpik (ia diadakan selama dua minggu) dan Piala Dunia (berlangsung selama sebulan). Ia akhirnya akan menggiatkan semula ekonomi tempatan merentas sektor," kata Lee kepada Bernama baru-baru ini.
Busan merupakan bandar kedua terbesar di Korea Selatan selepas Seoul, ia terletak di tenggara semenanjung Korea.
Kerajaan Korea Selatan dan bandar Busan secara rasmi menyerahkan cadangannya untuk menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2030 pada 7 September lepas kepada sekretariat Bureau International des Expositions (BIE) di Paris, Perancis dengan tema 'Transforming our World, Navigating to a Better Future'.
Pelan itu termasuk penganjuran ekspo neutral karbon sebagai strategi untuk mengalahkan pesaingnya dari Itali dan Arab Saudi.
Mewujudkan hab
Bandar pelabuhan Busan itu sedang membangunkan semula Bandar North Port secara berperingkat untuk menganjurkan acara itu, kata Lee.
Ia dijadualkan siap pada tahun 2024, lokasi tersebut akan menjadi hab industri maritim baharu dengan melibatkan urus niaga antarabangsa, kewangan, perniagaan serta kemudahan penyelidikan dan pembangunan.
"Profil Busan sebagai hab untuk kewangan, logistik dan industri maritim akan bertambah baik. Busan bakal menjadi bandar hab global.
"Pelbagai kemudahan berkaitan perniagaan dan pelancongan juga akan dibina, antaranya Busanjin Terrace, platform untuk belia 'Eurasian' (orang peranakan daripada bangsa Eropah dan Asia); Zon Aktiviti Pusat (CAZ) sebagai daerah perniagaan dan kemudahan konvensyen yang berkaitan dengan industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
"Keseluruhan Ekspo Dunia 2030 di Busan akan menelan belanja sekitar lima trilion won (US$3.52 bilion)," kata Lee.
Di Seoul, Ketua Jawatankuasa Pembidaan Ekspo Dunia Busan 2030 bahagian Strategi dan Perancangan, Jung Hong Gon berkata North Port Busan merupakan salah satu lokasi paling penting untuk menyumbang kepada ekonomi Korea Selatan.
Ekonomi negara itu sangat bergantung kepada eksport dan sebahagian besarnya adalah melalui North Port. Tapak itu juga merupakan tempat terbaik untuk melambangkan "transformation of our world", tema dipilih untuk ekspo tersebut.
"Jika anda memikirkan lokasi lain di mana seluruh kawasan perlu dibangunkan dari awal untuk menjadi tuan rumah acara global, Pelabuhan Utara berdaya maju daripada segi ekonomi dan alam sekitar kerana kebanyakan pelabuhan sedia ada boleh digunakan," kata Jung.
"North Port, tapak ekspo tersebut, terletak di pusat bandar lama berdekatan dengan laut yang sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi dan juga bandar metropolis. Ini adalah salah satu sebab mengapa Busan menjadi tempat terbaik untuk menganjurkan ekspo itu," katanya.
Beliau berkata pelabuhan sedia ada untuk ekspo itu akan dibangunkan semula dan kerja-kerja selebihnya akan disiapkan selepas ekspo itu berakhir.
Gergasi korporat Korea Selatan, antaranya Lotte, Samsung, SK, Hyundai Motor, LG dan Lotte telah menyertai kempen di seluruh negara untuk mempromosikan bidaan Busan.
Selain itu, kumpulan K-pop popular Korea Selatan, BTS dilantik sebagai duta perhubungan awam pada Jun tahun ini untuk mempromosikan projek bandar itu.
Korea Selatan pernah menganjurkan ekspo di Daejeon dan Yeosu pada tahun 1993 dan 2012.
-- BERNAMA
#Busan World Expo 2030 #impak ekonomi #Korea Selatan #pelaburan
;