Bursa Securities ubah tarikh gantung dagangan TH Heavy Engineering kepada 10 Dis

Dagang News
Disember 3, 2021 00:08 MYT
Bursa Malaysia Securities Bhd menginjak tarikh penggantungan dagangan TH Heavy Engineering Bhd kepada 10 Disember daripada 9 Disember 2021, seperti yang diumumkan pada Rabu. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Berikutan cuti umum Wilayah Persekutuan hari ini, Bursa Malaysia Securities Bhd menginjak tarikh penggantungan dagangan TH Heavy Engineering Bhd kepada 10 Disember daripada 9 Disember 2021, seperti yang diumumkan pada Rabu.
Bursa Securities juga mengubah tarikh nyahsenarai sekuriti syarikat kepada 14 Disember daripada 13 Disember 2021, menurutnya dalam makluman petang semalam.
"Sekuriti syarikat akan dinyahsenarai pada 14 Disember ini melainkan rayuan dikemukakan kepada Bursa Securities pada atau sebelum 9 Disember 2021.
"Sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tempoh rayuan ini tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities," katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena meraikan kemenangan Kuala Lumpur FC (KL City) pada piala akhir Piala Malaysia, kelmarin.
Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya juga akan ditutup esok dan kembali beroperasi pada Isnin, 6 Disember.
Bursa Securities bertindak menggantung dagangan TH Heavy Engineering selepas menolak permohonan syarikat untuk meminta lanjutan tambahan selama enam bulan sehingga April 2022 bagi membolehkannya mengemukakan pelan penyusunan semula yang sepatutnya berakhir 22 Oktober lalu.
Ketika mengakhiri dagangan petang ini, harga saham TH Heavy Engineering merosot 5 sen atau 76.92% kepada 1.5 sen dengan 134.3 juta saham diniagakan.
*Berita asal di DagangNews.com
#Bursa Malaysia #TH Heavy Engineering Bhd #Piala Malaysia #ubah tarikh nyahsenarai sekuriti syarikat