Bursa Securities tolak permohonan TH Heavy lanjut tempoh kemuka pelan penstrukturan semula

Bernama
Disember 1, 2021 23:50 MYT
Bursa Securities berkata walaupun penyahsenaraian akan ditangguhkan jika rayuan diterima, namun ia akan menggantung dagangan sekuriti syarikat itu pada 9 Dis.
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) menolak permohonan TH Heavy Engineering Bhd (THHE) untuk melanjutkan tempoh lagi bagi mengemukakan pelan penstrukturan semulanya.
Dagangan dalam sekuriti THHE akan digantung mulai 9 Dis, 2021 dan sekuriti akan dinyahsenarai pada 13 Dis kecuali syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu mengemukakan rayuan selewat-lewatnya pada 8 Dis.
Dalam kenyataan semalam, Bursa Securities berkata walaupun penyahsenaraian akan ditangguhkan jika rayuan diterima, namun ia akan menggantung dagangan sekuriti syarikat itu pada 9 Dis.
"Sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tempoh rayuan tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Securities," menurut pengawal selia itu.
Penggiat industri minyak dan gas itu telah menerima beberapa lanjutan untuk mengemukakan pelan penstrukturan semulanya sejak berada dalam status PN17 pada April 2017. Ia menjadi penerbit terjejas selepas juruauditnya menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016.
Bursa Securities berkata sekuriti THHE mungkin kekal didepositkan dengan Bursa Depository Sdn Bhd walaupun sekuriti tersebut dinyahsenarai.
"Sebagai alternatif, pemegang saham syarikat yang berhasrat untuk memegang sekuriti mereka dalam bentuk sijil fizikal, boleh mengeluarkan sekuriti ini daripada akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) mereka yang kekal dengan Bursa Depository pada bila-bila masa selepas sekuriti syarikat itu dinyahsenarai.
"Ini boleh dilaksanakan oleh pemegang saham yang mengemukakan borang permohonan untuk pengeluaran mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Bursa Depository," katanya.
Bursa Securities berkata mengenai nyahsenarai syarikat, THHE akan terus wujud tetapi sebagai entiti yang tidak disenaraikan dan masih boleh meneruskan operasi, perniagaan dan meneruskan penstrukturan semula korporatnya dan pemegang sahamnya masih boleh diberi ganjaran oleh prestasi syarikat.
"Bagaimanapun, pemegang saham akan memegang saham yang tidak lagi disebut harga dan didagangkan di Bursa Securities," katanya.
Sementara itu, dalam makluman kepada bursa, THHE berkata syarikat bercadang untuk mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
#th heavy engineering #pelan penstrukturan semula #Bursa Securities #THHE akan digantung