Bursa AS rendah, pelabur tunggu data inflasi

Astro Awani
April 13, 2021 08:21 MYT
Pada penutup, indeks Dow Jones jatuh 55 mata, Nasdaq jatuh 50 mata dan S and P 500 jatuh hampir 1 mata. - Foto AP/Richard Drew
NEW YORK: Saham di Bursa New York ditutup rendah pada hari pertama dagangan minggu ini dengan pelabur menunggu laporan pendapatan korporat.
Dalam masa yang sama pelabur turut menunggu data inflasi di Amerika untuk bulan March yang akan diumum pada hari ini.
Pada penutup, indeks Dow Jones jatuh 55 mata, Nasdaq jatuh 50 mata dan S and P 500 jatuh hampir 1 mata.
Indeks di Bursa New York pada Jumaat ditutup pada paras rekod.
Menurut laporan Reuters, ini selepas hasil bon 10 tahun Amerika menurun daripada paras tertinggi dalam 14 bulan.
Penganalisis pasaran menjangka peningkatan data inflasi mampu melonjakkan hasil bon Amerika.
Pada bulan Februari, kadar inflasi di Amerika tumbuh 1.3 peratus bulan ke bulan.
Penganalisis pasaran Oanda menyatakan pelabur kini akan mendapatkan panduan daripada keputusan korporat untuk membuat penilaian harga saham dengan lebih jelas.
Pada Ahad, Pengerusi The Fed Jerome Powell menyatakan ekonomi Amerika kini berada di titik perubahan dan menjangka pertumbuhan lebih pantas dalam bulan-bulan akan datang.
Namun risiko masih wujud jika pembukaan tidak diuruskan dengan baik dan meningkatkan kes baru COVID-19.
#AS #New York #ekonomi #COVID-19 #Dow Jones #S And P
;