Bursa AS menurun pada dagangan Rabu
Astro Awani
Februari 17, 2021 06:17 MYT
Februari 17, 2021 06:17 MYT
SAHAM di Bursa Amerika Syarikat mencatatkan sedikit kejatuhan dengan pelabur menjual saham teknologi.
Dalam masa yang sama, sentimen pasaran terkesan dengan pelabur menjangkakan kadar inflasi akan meningkat dengan program vaksinasi yang terus meningkat.
Peningkatan vaksinasi di negara itu akan membantu untuk pembukaan ekonomi yang berdepan pelbagai sekatan sejak setahun lepas.
Hasil untuk bon 10 tahun Amerika Syarikat meningkat ke paras tertinggi dan dolar turut dilapor meningkat dengan prospek pemulihan ekonomi.
Menurut laporan Reuters, data menunjukkan jualan runcit di Amerika Syarikat meningkat pada Januari selepas isi rumah menerima bantuan tunai daripada kerajaan.
Data lain menunjukkan harga pengeluar di pintu kilang turut mencatat peningkatan besar sejak 2009.
Dalam minit mesyuarat yang dikeluarkan The Fed komited untuk mengekalkan kadar faedah sehingga kadar inflasi meningkat melepasi paras 2 peratus untuk satu tempoh.
Namun pelabur gusar, bantuan 1.9 trillion dolar yang diumumkan Presiden Joe Biden, akan mempercepatkan peningkatan kadar inflasi tersebut.
Bantuan berkenaan akan turut merangkumi cek 1,400 dolar kepada isi rumah.
Mereka gusar, jika ini berlaku, The Fed akan meningkatkan kadar faedah dalam masa terdekat.
Pada penutup Dow Jones naik 90 mata, indeks S and P 500 jatuh 1.26 mata dan Nasdaq, jatuh 82 mata.
Sementara itu nilai Bitcoin dilapor meningkat melepasi paras 52 ribu dolar seunit.
Harga minyak meningkat 1 dolar setong selepas ribut salji yang melanda Texas menyukarkan proses pengeluaran.
Semakan terakhir menunjukkan harga minyak ditutup pada paras 64 dolar setong.