Bursa Malaysia terus meningkat untuk hari keempat berturut-turut

Bernama
Januari 22, 2025 20:30 MYT
Pada 5 petang, penanda aras FBM KLCI meningkat 7.34 mata atau 0.46 peratus kepada 1,587.80, dipacu terutamanya oleh sektor perladangan dan kewangan. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat untuk hari keempat berturut-turut pada Rabu, mencerminkan prestasi semalaman Wall Street yang kukuh dan keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus.
Pada 5 petang, penanda aras FBM KLCI meningkat 7.34 mata atau 0.46 peratus kepada 1,587.80, dipacu terutamanya oleh sektor perladangan dan kewangan.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.76 mata lebih tinggi kepada 1,583.22 daripada 1,580.46 ketika ditutup pada Selasa.
Lingkungan pasaran bagaimanapun sedikit negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 447 berbanding 424, manakala 605 kaunter tidak berubah, 892 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 2.99 bilion unit bernilai RM2.24 bilion daripada 3.42 bilion unit yang bernilai RM2.61 bilion pada Selasa.
Menurut Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan, prestasi pasaran hari ini disokong oleh keputusan BNM untuk mengekalkan OPR, yang telah memberikan kesan penstabilan ke atas sistem kewangan di tengah-tengah pemantauan berterusan terhadap perkembangan dasar perdagangan AS.
Selain itu, beliau berkata pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai potensi tarif 10 peratus ke atas China bukanlah tindakan yang lebih berat, telah membawa kejelasan yang amat diperlukan kepada pasaran dan meredakan kebimbangan pelabur.
"Ini telah mempengaruhi sentimen secara positif, terutamanya dalam kalangan pelabur di Asia, yang mana pasaran serantau ditutup tinggi. Di bursa tempatan, kenaikan hari ini adalah lebih meluas dan lebih ketara berbanding sesi sebelumnya dengan beberapa sektor yang kukuh memacu momentum kenaikan.
"Kami kekal optimistik mengenai potensi FBM KLCI untuk melepasi paras psikologi 1,600 minggu ini," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menokok lapan sen kepada RM10.36, CIMB naik 12 sen kepada RM8.06, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.40, manakala Hong Leong Bank tidak berubah pada RM20.18, dan Press Metal turun 17 sen kepada RM5.01.
Bagi saham aktif, Harvest Miracle meningkat setengah sen kepada 17.5 sen, Mah Sing naik empat sen kepada RM1.53, manakala EA Holdings dan Green Ocean masing-masing tidak berubah pada setengah sen dan 18 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 18.21 mata kepada 12,159.57, Indeks FBM Emas Shariah turun 20.76 mata kepada 12,035.30, Indeks FBMT 100 menokok 20.57 mata kepada 11,841.82, Indeks FBM 70 susut 95.86 mata kepada 18,126.80, dan Indeks FBM ACE jatuh 7.73 mata kepada 5,238.59.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 109.67 mata kepada 18,945.42, Indeks Perladangan mengembang 45.54 mata kepada 7,421.70, Indeks Tenaga susut 3.18 mata kepada 855.02, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.74 mata kepada 170.21 .
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.28 bilion unit yang bernilai RM1.96 bilion berbanding 1.51 bilion unit bernilai RM2.28 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.13 bilion unit bernilai RM112.48 juta daripada 1.10 bilion unit bernilai RM116.40 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 541.74 juta unit bernilai RM162.58 juta daripada 809.45 juta unit bernilai RM215.70 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 144.35 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (208.63 juta), pembinaan (111.68 juta), teknologi (163.38 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (68.12 juta), hartanah (270.04 juta), perladangan (21.56 juta), REIT (13.28 juta), dana tertutup (8,300), tenaga (134.84 juta), penjagaan kesihatan (38.46 juta), telekomunikasi dan media (26.67 juta), pengangkutan dan logistik (26.93 juta), utiliti (56.03 juta), dan amanah perniagaan (94,800).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #meningkat #Bank Negara Malaysia
;