Bursa Malaysia terus catat kenaikan menjelang Belanjawan 2024 esok

Bernama
Oktober 12, 2023 11:10 MYT
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 4.95 mata untuk mencatatkan paras 1,441.44 daripada 1,436.49 penutup Rabu. -Gambar fail/Dagang News
KUALA LUMPUR: Prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik terus membantu melonjakkan dagangan Bursa Malaysia untuk dibuka tinggi pagi ini meskipun pelabur mengambil sikap berhati-hati menjelang pengeluaran data inflasi pengguna Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini dan Belanjawan 2024 esok.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meraih 4.95 mata untuk mencatatkan paras 1,441.44 daripada 1,436.49 penutup Rabu.
Indeks utama dibuka pada 1,437.96, meningkat 1.47 mata.
Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 168 berbalas 140, manakala 254 kaunter tidak berubah, 1,793 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan 283.53 juta unit bernilai RM108.34 juta.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ramai yang "bertaruh" Rizab Persekutuan AS mungkin menangguhkan kenaikan kadarnya pada November ini.
"Justeru, Purata Perindustrian Dow Jones memperoleh 65 mata semalaman manakala Nasdaq menambah 97 mata apabila hasil Perbendaharaan AS 10 tahun susut kepada 4.56 peratus.
"Di Hong Kong, Indeks Hang Seng melonjak 228 mata didorong keyakinan ekonomi China akan pulih dengan lebih kukuh dan AS menghentikan kenaikan kadar pada masa hadapan," katanya kepada Bernama.
Di dalam negara, sementara aliran masuk dana asing dijangka berterusan, indeks penanda aras perlu melihat aliran menaik yang kukuh melepasi paras 1,450 secepat mungkin untuk mengekalkan trajektori menaiknya sejak pertengahan Julai.
"Untuk hari ini, kami percaya sektor telekomunikasi yang berprestasi rendah mungkin menyaksikan beberapa aktiviti memburu saham murah manakala indeks utama dijangka berlegar dalam julat 1,435-1,445," tambahnya.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata berikutan sentimen positif secara keseluruhan dalam pasaran saham global, firma pembrokeran itu menjangkakan sokongan pembelian mungkin berterusan di pasaran tempatan, berpandukan pada idea dan pemangkin dalam Belanjawan 2024 sekurang-kurangnya untuk jangka masa terdekat.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat lima sen kepada RM8.95, Public Bank dan CIMB masing-masing menambah dua sen kepada RM4.17 dan RM5.62, Tenaga Nasional mengukuh sembilan sen untuk mencapai harga RM10.08 tetapi Petronas Chemicals susut tiga sen menjadi RM7.20.
Bagi saham aktif, SSF Home yang mula disenaraikan di Pasaran ACE pagi ini tidak berubah pada harga 25 sen, Classita dan Kinergy Advancement tidak berubah, masing-masing mencatatkan harga 7.5 sen dan 33 sen manakala Sapura Energy dan Tanco susut setengah sen kepada lima sen dan 56 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 27.60 mata kepada 10,666.45, Indeks FBMT 100 naik 28.09 mata menjadi 10,331.58 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 18.90 mata kepada 10,897.24.
Indeks FBM 70 peroleh 6.27 mata menjadi 14,152.69, manakala Indeks FBM ACE susut 16.07 mata kepada 5,160.64.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 58.67 mata kepada 16,239.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.27 mata kepada 172.48, Indeks Perladangan menokok 5.32 mata kepada 6,878.96, manakala Indeks Tenaga susut 7.37 mata pada 871.14.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2024 #Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street
;