Bursa Malaysia rendah sedikit pada sesi pembukaan dagangan

Bernama
Julai 4, 2023 11:30 MYT
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.44 mata kepada 1,394.45 daripada 1,395.89 pada penutup Isnin. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Dagangan Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit hari ini walaupun Wall Street mempamerkan kenaikan semalaman menjelang cuti umum Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) hari ini, kata seorang penganalisis.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.44 mata kepada 1,394.45 daripada 1,395.89 pada penutup Isnin.
Indeks utama susut 2.33 mata pada pembukaan untuk mencatatkan paras 1,393.56.
Pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 137 berbalas 131, manakala 220 kaunter tidak berubah, 1,757 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 129.63 juta unit bernilai RM61.16 juta.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, keuntungan yang diraih kebanyakannya dilonjakkan oleh saham berkaitan kecerdasan buatan apabila Nasdaq menambah 29 mata manakala Purata Perindustrian Dow Jones naik 11 mata walaupun hasil 10 tahun AS ditutup lebih tinggi pada 3.858 peratus.
Di dalam negara pula, beliau berkata FBM KLCI menambah 19 mata kepada hampir 1,400 semalam dirangsang oleh belian meluas melibatkan saham wajaran tinggi di tengah-tengah prestasi serantau yang lebih kukuh.
"Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam aliran julat 1,395-1,405 hari ini," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional menambah satu sen kepada RM9.11, Maybank dan CIMB masing-masing susut satu sen menjadi RM8.74 dan RM5.15 manakala Public Bank lemah tiga sen kepada RM3.91dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM5.88.
Bagi saham aktif, G Capital menambah lapan sen kepada 53.5 sen, Computer Forms menambah satu sen kepada 19 sen, Bumi Armada kehilangan satu sen menjadi 49 sen manakala Tanco dan MAG Holdings tidak berubah pada 52 sen dan 20 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 7.40 mata kepada 10,265.15, Indeks FBMT 100 pula 8.01 mata lebih rendah pada 9,966.29 dan Indeks FBM ACE kerugian 5.30 mata untuk mencatatkan paras 5,110.28.
Indeks FBM 70 menguncup 1.13 mata kepada 13,530.50 tetapi Indeks FBM Emas Syariah peroleh 8.28 mata kepada 10,543.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 38.96 mata kepada 15,479.12 dan Indeks Tenaga berkurangan 2.15 mata kepada 785.99.
Bagaimanapun, Indeks Perladangan menokok 28.21 mata kepada 6,855.69 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.12 mata menjadi 158.78.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat
;