KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi rendah, didorong oleh kegiatan pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih berserta sentimen lemah pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.38 mata kepada 1,457.34 daripada 1,462.72 pada penutup Isnin. Indeks utama yang dibuka pada paras 1,462.58, turun 0.14 mata dan telah berlegar antara 1,455.05 dan 1,462.58 sepanjang sesi.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 618 berbalas 260, manakala 385 kaunter tidak berubah, 1,036 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan 2.47 bilion unit bernilai RM1.22 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng yakin aktiviti pembelian akan berterusan di pasaran tempatan seperti yang diperlihatkan oleh perolehan yang semakin bertambah baik, melepasi paras 4.0 bilion sejak dua hari lepas.

"Justeru, kami menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,460-1,470 hari ini. Sementara itu, minyak mentah Brent akhirnya mencecah US$89 setong," katanya kepada Bernama hari ini.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Bursa - Maybank tidak berubah pada RM9.15, Tenaga Nasional meningkat 1.0 sen menjadi RM9.91, Public Bank turun 2.0 sen kepada RM4.26, CIMB susut 4.0 sen kepada RM5.67 dan Petronas Chemicals berkurangan 1.0 sen kepada RM7.11.

Bagi saham aktif, Classita peroleh setengah sen kepada 8.0 sen, Top Glove menokok 1.5 sen kepada 75 sen manakala Ekovest kerugian 4.5 sen kepada 51.5 sen dan UEM Sunrise menguncup 8.0 sen kepada 66 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 46.28 mata kepada 10,756.59, Indeks FBMT 100 turun 42.0 mata menjadi 10,426.78 manakala Indeks FBM Emas Syariah menguncup 58.60 mata kepada 10,919.50.

Indeks FBM 70 pula kehilangan 71.97 mata kepada 14,202.28 dan Indeks ACE FBM susut 44.28 mata kepada 5,197.90.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.92 mata kepada 172.85, Indeks Perladangan turun 53.13 mata kepada 6,893.49 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan kehilangan 25.47 mata kepada 16,462.81.

Indeks Tenaga berkurangan 6.66 mata kepada 854.37.

-- BERNAMA