KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan dengan indeks utama ditutup melebihi paras 1,570 pada Isnin berikutan peniaga menarik nafas lega selepas mengetahui bahawa tiada sekatan pergerakan penuh akan dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade Vincent Lau berkata bursa tempatan turut bergerak sejajar dengan aliran meningkat yang dilihat dalam kebanyakan pasaran serantau.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.65 mata, atau 0.62 peratus, kepada 1,571.82 daripada 1,562.17 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks dibuka tinggi 1.61 mata kepada 1,563.78 dan berada antara 1,563.57 dan 1,576.96 sepanjang hari.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 902 berbanding 282, manakala 332 kaunter tidak berubah, 686 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 6.75 bilion unit bernilai RM3.47 bilion daripada 7.53 bilion unit bernilai RM4.07 bilion pada Jumaat lepas.

Mengulas mengenai prestasi hari ini, Lau berkata peningkatan semula itu adalah dalam jangkaan berikutan bursa tempatan, terutamanya FBM KLCI, merosot kira-kira 30 mata sejak awal Mei.

"Kami melihat peniaga mula menambah saham tersebut yang telah terlebih jual sebelum ini," katanya kepada Bernama.

Berkongsi pandangan yang sama dengan Lau, Ketua Penyelidikan MIDF Research Imran Yassin Md Yusof berkata dengan tiada sekatan pergerakan penuh seperti yang dijangka sebelum ini, PKP 3.0 dengan prosedur operasi standard yang ketat dijangka dapat mengurangkan impak terhadap pendapatan korporat.

"Oleh itu, reaksi pasaran yang baik dipantau hari ini," katanya, sambil menambah aktiviti belian saham pada harga rendah turut dilihat selepas jualan besar-besaran pada minggu lepas.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura naik 0.18 peratus kepada 3,123.61, Nikkei Jepun meningkat 0.17 peratus kepada 28,364.61 manakala Indeks Komposit Shanghai menambah 0.31 peratus kepada 3,497.28.

Dalam kalangan 30 konstituen FBM KLCI, Maybank naik 10 sen kepada RM8.34, Press Metal Aluminium menambah 12 sen kepada RM5.12, Axiata dan Maxis, masing-masing meningkat sembilan sen kepada RM3.49 dan RM4.63 manakala Sime Darby Plantation naik lapan sen kepada RM4.51.

Daripada saham aktif, Privasia Technology menambah 8.5 sen kepada 26 sen, Ucrest naik lapan sen kepada 43.5 sen, Saudee meningkat 4.5 sen kepada 25 sen, Eka Noodles naik tiga sen kepada lima sen, manakala Focus Dynamics susut setengah sen kepada enam sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 117.02 mata kepada 11,453.05 dan Indeks FBMT 100 naik 100.18 mata kepada 11,142.40.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 133.70 mata kepada 12,741.73, FBM ACE naik 209.74 mata kepada 7,834.61 dan FBM 70 menokok 256.43 mata kepada 14,793.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 108.21 mata kepada 14,876.21, Indeks Perladangan menambah 32.01 mata kepada 6,931.53 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 3.59 mata kepada 190.89.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 3.57 bilion saham bernilai RM2.58 bilion daripada 4.24 bilion saham bernilai RM3.08 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 223.20 juta unit bernilai RM24.48 juta daripada 336.54 juta unit bernilai RM30.90 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran Ace tidak berubah pada 2.95 bilion saham bernilai RM870.47 juta daripada 2.95 bilion saham bernilai RM955.16 juta sebelum ini.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 1.0 bilion saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.05 bilion), pembinaan (138.90 juta), teknologi (596.45 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (63.17 juta), hartanah (221.93 juta), perladangan (28.61 juta), REIT (6.96 juta), dana tertutup (16,000), tenaga (218.33 juta), penjagaan kesihatan (64.63 juta), telekomunikasi dan media (96.38 juta), pengangkutan dan logistik (59.89 juta) dan utiliti (12.61 juta).

-- BERNAMA