KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini lebih kukuh, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang ditutup tinggi di tengah-tengah keyakinan pelabur menjelang musim pelaporan pendapatan, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.67 mata kepada 1,441.63 daripada penutupan Isnin pada 1,438.96.

Indeks utama dibuka tinggi 0.08 mata untuk mencatatkan paras 1,439.04.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 142 berbalas 104, manakala 223 kaunter tidak berubah, 1,872 tidak diniagakan dan 10 digantung.

Jumlah dagangan 184.55 juta unit bernilai RM65.62 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street meningkat apabila pelabur lebih positif menjelang minggu pertama musim pelaporan pendapatan suku ketiga walaupun ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

"Memandangkan sentimen dagangan yang menggalakkan di Wall Street, kami percaya minat belian dijangka muncul di pasaran tempatan, memberi tumpuan pada butiran Belanjawan 2024 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030," katanya.

Bagi komoditi pula, ia berkata minyak mentah Brent kekal melebihi US$90 setong di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan, manakala minyak sawit mentah bergerak ke arah RM3,800 satu tan.

Sementara itu, dalam kalangan sektor wajaran tinggi Bursa - Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah dua sen kepada RM9.00, RM4.19 dan RM7.50, Tenaga Nasional peroleh lima sen menjadi RM10.00 manakala CIMB susut empat sen kepada RM5.57.

Saham-saham aktif yang terdiri daripada Minox yang baharu disenaraikan peroleh lapan sen untuk mencapai harga 33 sen, Widad mengembang satu sen kepada 56 sen manakala Sapura Energy, Tanco dan waran Tanco, kesemuanya tidak berubah pada harga lima sen, 25.5 sen dan 57 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 19.91 mata kepada 10,678.97, Indeks FBMT 100 menambah 19.70 mata kepada 10,344.29 dan Indeks FBM Emas Syariah peroleh 18.42 mata menjadi 10,897.09

Indeks FBM 70 mengembang 29.45 mata kepada 14,219.71 manakala Indeks FBM ACE susut 8.25 mata kepada 5,108.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 35.67 mata kepada 16,263.60, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian peroleh 0.18 mata kepada 175.52, Indeks Tenaga menambah 0.19 mata menjadi 882.65 dan Indeks Perladangan meraih 10.64 mata kepada 6,836.80.

-- BERNAMA