Bursa Malaysia minta pemegang saham sertai dan undi secara jarak jauh pada AGM
Bernama
April 1, 2020 04:46 MYT
April 1, 2020 04:46 MYT
Bursa Malaysia Bhd akan menambah langkah keselamatan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-43 (AGM) yang ditangguhkan dari tarikh asalnya pada 31 Mac kepada 29 April, 2020, untuk memastikan kesihatan dan keselamatan semua pemegang sahamnya.
Berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan satu keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat COVID-19, Bursa Malaysia melaksanakan pelbagai langkah keselamatan yang mencerminkan kebimbangan ini.
Paling penting, para pemegang saham dinasihatkan untuk mengambil bahagian dan mengundi secara jarak jauh pada AGM ke-43 menggunakan kemudahan Penyertaan dan Pengundian Jaraj Jauh (RPV) yang disediakan, katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Untuk berbuat demikian, mereka perlu membuat pra-pendaftaran dalam talian di https://tiih.
Dengan kemudahan RPV, pemegang saham boleh menggunakan haknya untuk mengambil bahagian, termasuk meletakkan soalan kepada Ahli Lembaga dan Pengurusan syarikat, serta mengundi di AGM, dari rumah mereka.
Langkah-langkah keselamatan ini juga perlu untuk membolehkan Bursa Malaysia mematuhi arahan dan garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan berhubung perhimpunan awam atau acara.
"Pemegang saham juga boleh melantik pengerusi mesyuarat sebagai proksi mereka dan menunjukkan arahan mengundi dalam Borang Proksi jika mereka tidak dapat menghadiri AGM menerusi kemudahan RPV," katanya.
Bursa Malaysia akan terus memantau perkembangan pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#agm
#Bursa Malaysia
#COVID-19
#jarak jauh
#keselamatan
#koronavirus
#mengundi
#Mesyuarat Agung Tahunan
#pemegang saham
#perhimpunan
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#tangguh