Bursa Malaysia meningkat semula jejaki kenaikan di Wall Street

Bernama
Januari 11, 2024 12:10 MYT
Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.31 mata kepada 1,491.17 daripada 1,486.86 pada Rabu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi hari ini, menjejaki kenaikan di Wall Street dalam persekitaran sesi dagangan rendah berikutan peniaga menunggu data inflasi baharu hari ini.
Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.31 mata kepada 1,491.17 daripada 1,486.86 pada Rabu.
FBM KLCI dibuka tinggi 0.29 mata kepada 1,487.15.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 189 berbanding 145 manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,593 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 293.88 juta unit bernilai RM113.12 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata susulan kenaikan semalaman di Wall Street, Dow Jones Industrial Average meningkat 171 mata dan Nasdaq melonjak 112 mata dengan hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada 4.03 peratus.
Beliau berkata di Hong Kong, Indeks Hang Seng terus merosot berikutan kekurangan pemangkin.
"Bagaimanapun, penurunan hasil bon 10 tahun China telah mendorong kepada jangkaan mengenai penurunan kadar faedah," katanya kepada Bernama.
Dalam negara, Thong menjangka terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah hari ini dan turut menjangka indeks berada dalam julat 1,485-1,495.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals, masing-masing naik satu sen kepada RM9.01 dan RM7.01, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.33, CIMB meningkat empat sen kepada RM5.99 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM10.48.
Daripada saham aktif, Hong Seng Consolidated naik setengah sen kepada 2.5 sen, MMAG Holdings meningkat satu sen kepada 12.5 sen, TWL Holdings berkurangan setengah sen kepada 4.5 sen manakala Sarawak Consolidated dan Widad, masing-masing tidak berubah pada RM1.08 dan 49 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM 70 naik 0.20 mata kepada 15,078.84, Indeks FBMT 100 menambah 23.23 mata kepada 10,766.98, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 14.29 mata kepada 11,249.25 dan Indeks FBM Emas naik 23.90 mata kepada 11,121.73, bagaimanapun Indeks FBM ACE berkurangan 16.08 mata kepada 5,416.77.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.16 mata kepada 176.30, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 38.58 mata kepada 16,586.37, Indeks Tenaga meningkat 2.80 mata kepada 852.98 manakala Indeks Perladangan menambah 30.08 mata kepada 7,097.59 dan Indeks Hartanah naik 0.55 mata kepada 896.97.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #bursa meningkat #ekonomi malaysia #Wall Street