Bursa Malaysia meningkat di tengah-tengah prestasi bercampur-campur pasaran Asia
Bernama
Disember 18, 2024 21:48 MYT
Disember 18, 2024 21:48 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat dan ditutup tinggi berikutan sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih di tengah-tengah prestasi bercampur-campur pasaran Asia.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.14 peratus atau 2.25 mata kepada 1,599.58 daripada 1,597.33 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks itu dibuka tidak berubah dan bergerak antara 1,594.75 dan 1,602.38 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 501 berbanding 480 manakala 562 kaunter tidak berubah, 928 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.55 bilion unit bernilai RM2.29 bilion daripada 2.99 bilion unit bernilai RM2.43 bilion pada Selasa.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen dagangan dalam keadaan tegang berikutan pelabur bersedia dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan lewat hari ini.
Beliau berkata, jangkaan pasaran mengenai penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Fed pada bulan ini sewajarnya memberi kesan positif.
Bagaimanapun ketidaktentuan pada masa ini berkait rapat dengan panduan yang akan diberikan akan datang, yang dijangka dalam kecenderungan menaikkan kadar faedah, justeru menunjukkan penurunan kadar faedah mungkin dihentikan sementara, katanya.
"Prospek sedemikian boleh memberi kesan tidak menyenangkan kepada pasaran saham serantau termasuk Bursa Malaysia," katanya kepada Bernama.
Menurut Innes, sentimen pasaran yang berhati-hati dijejaskan lagi dengan data ekonomi China pada November yang menekankan mengenai cabaran ekonomi yang ketara.
Terdapat penurunan yang ketara di pelbagai sektor utama dengan jualan runcit, pelaburan aset tetap dan pelaburan hartanah menunjukkan pengurangan yang ketara.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Tenaga Nasional naik 28 sen kepada RM14.08,Nestle meningkat RM1.20 kepada RM99.00, IHH Healthcare, Petronas Chemicals dan Maxis masing-masing menambah 3.0 sen kepada RM7.13, RM4.81 dan RM3.60 dan YTL Corporation menokok 2.0 sen kepada RM2.14.
Bagi saham aktif, Carlo Rino Group yang mula disenaraikan di Pasaran ACE menyusut 4.0 sen kepada 23 sen, Supermax meningkat 12.0 sen kepada RM1.22, Top Glove menambah 7.0 sen kepada RM1.38,MYEG turun setengah sen kepada 94.5 sen dan Talam Transform tidak berubah pada 2.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 39.35 mata kepada 12,322.49,Indeks FBM Emas menokok 18.76 mata kepada 12,280.79 dan Indeks FBMT 100 naik 19.43 mata kepada 11,965.42.
Indeks FBM 70 menambah 39.57 mata kepada 18,449.63 dan Indeks FBM ACE meningkat 4.58 mata kepada 5,246.44.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.35 mata kepada 172.49 manakala Indeks Tenaga rendah 1.35 mata kepada 815.31.
Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 39.82 mata kepada 18,896.19 dan Indeks Perladangan meningkat 4.67 mata kepada 7,632.76.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.36 bilion unit bernilai RM2.06 bilion daripada 1.59 bilion unit bernilai RM2.21 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 672.44 juta unit bernilai RM66.70 juta daripada 662.60 juta unit bernilai RM64.50 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 517.27 juta unit bernilai RM155.22 juta daripada 739.59 juta unit bernilai RM159.48 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 179.78 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (234.26 juta), pembinaan (83.52 juta),teknologi (179.93 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (51.99 juta), hartanah (218.70 juta), perladangan (38.50 juta), REIT (24.73 juta), dana tertutup (2,100), tenaga (69.24 juta), penjagaan kesihatan (190.08 juta), telekomunikasi dan media (27.66 juta), pengangkutan dan logistik (24.68 juta), utiliti (35.00 juta) dan amanah perniagaan (53,400).
-- BERNAMA