Bursa Malaysia lanjutkan 'Polisi Laluan Hijau', berkuat kuasa 16 Jun

Bernama
Jun 9, 2016 17:55 MYT
'Polisi Laluan Hijau' akan memendekkan masa untuk broker niaga hadapan dan peserta penjelasan umum memulakan aktiviti baharu.
Bursa Malaysia akan melanjutkan "Polisi Laluan Hijau" kepada broker niaga hadapan dan peserta penjelasan umum bagi memulakan aktiviti mereka, dengan hanya satu proses pemberitahuan, masing-masing kepada Bursa Malaysia Derivatives Bhd dan Bursa Malaysia Derivatives Clearing Bhd.
Polisi itu akan berkuatkuasa mulai 16 Jun 2016.
Bursa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, berkata polisi tersebut akan memendekkan masa untuk broker niaga hadapan dan peserta penjelasan umum memulakan aktiviti baharu.
"Ini termasuk pembukaan cawangan baharu atau kiosk urus niaga, perpindahan premis perniagaan atau perubahan alamat utama perniagaan, memulakan tingkat perdagangan baharu/tambahan, permulaan perdagangan proprietari, permulaan fasiliti akaun perdagangan budi bicara dan permulaan/pemindahan perniagaan dalam cawangan dua lesen syarikat pembrokeran saham yang berkaitan," katanya.
Katanya, pengenalan itu dibuat berdasarkan kejayaan pelaksanaan polisi yang sama ke atas broker ekuiti dalam 2013, dan ia juga selaras dengan usaha bursa yang berterusan bagi memperkemaskan proses-proses kawal selia yang berkesan antara semua peserta pasaran.
"Sekarang ini, semua permohonan oleh broker niaga hadapan dan penjelasan umum kepada Bursa Malaysia bagi memulakan aktiviti baharu akan diproses sama ada melalui Pendekatan Penilaian Sendiri (SAA) atau Pendekatan Perisytiharan (DA), di mana kelulusan awal daripada Bursa Malaysia dikehendaki," katanya.
#Bursa Malaysia #polisi laluan hijau
;