Bursa Malaysia kekal momentum peningkatan pada akhir dagangan

Bernama
November 25, 2024 21:12 MYT
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.67 mata atau 0.48 peratus kepada 1,597.45 daripada paras 1,589.78 ketika ditutup pada Jumaat lepas. - bursa.listedcompany.com
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengekalkan momentum peningkatannya pada akhir dagangan Isnin, didorong oleh pembelian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui oleh kaunter perkhidmatan kewangan dalam persekitaran prestasi kebanyakannya memberangsangkan di bursa serantau.
CIMB dan Public Bank menambah 16 sen dan 7.0 sen, masing-masing kepada RM8.38 dan RM4.45 dengan sumbangan gabungan sebanyak 5.21 mata kepada kenaikan indeks penanda aras.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.67 mata atau 0.48 peratus kepada 1,597.45 daripada paras 1,589.78 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk utama itu yang dibuka 4.09 mata lebih tinggi kepada 1,593.87, bergerak dalam julat 1,588.46 hingga 1,609.29 sepanjang dagangan hari ini.
Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 540 berbanding 501 manakala 479 kaunter tidak berubah, 944 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.01 bilion unit bernilai RM5.40 bilion berbanding 2.59 bilion unit bernilai RM2.28 bilion pada Jumaat.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup tinggi hari ini, melepasi paras psikologi 1,600 semasa sesi dagangan apabila minat jangka pendek dalam ekuiti muncul berikutan pembetulan harga baru-baru ini.
"Bagaimanapun, tekanan jualan pada saat-saat akhir mendorong indeks kembali turun di bawah 1,600 walaupun Bursa Malaysia mengakhiri dagangan dalam wilayah positif.
"Kenaikan berkenaan diterajui oleh saham utiliti dan kewangan yang naik semula selepas aktiviti pengambilan untung minggu lepas telah menghasilkan penilaian ke tahap lebih menarik.
"Trend positif ini dicerminkan di seluruh indeks sektor Bursa Malaysia dengan Indeks Utiliti dan Indeks Perkhidmatan Kewangan muncul sebagai kaunter paling untung," katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata pelabur kekal berhati-hati, mereka akan memantau pendapatan korporat dijadualkan dikeluarkan pada masa yang terdekat.
"Risiko geopolitik terutamanya konflik Rusia-Ukraine yang semakin meruncing dan kesan berpotensi berlaku daripada dasar tarif oleh presiden dipilih, Donald Trump turut mempengaruhi sentimen. Faktor-faktor ini mungkin membawa kepada strategi defensif dalam kalangan pelabur dengan peralihan kepada aset yang lebih selamat dijangka berlaku dalam tempoh terdekat," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank melonjak 10 sen kepada RM10.30, Tenaga Nasional menokok 4.0 sen kepada RM14.04, Hong Leong Bank menambah 40 sen kepada RM20.88 bagaimanapun IHH Healthcare merosot 19 sen kepada RM7 dan CelcomDigi jatuh 1.0 sen kepada RM3.55.
Bagi saham aktif, Sunway meningkat 3.0 sen kepada RM5.02, YTL Corp menambah 8.0 sen kepada RM1.85, Maxis melonjak 5.0 sen kepada RM3.58 manakala CN Asia menguncup 0.5 sen kepada 7.0 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas Shariah merosot 15.57 mata kepada 12,109.94, Indeks FBM 70 melonjak 123.90 mata kepada 18,057.92, Indeks FBM Emas naik 62.33 mata kepada 12,317.32, Indeks FBMT 100 meningkat 64.22 mata kepada 11,878.65 manakala Indeks FBM ACE menambah 0.38 mata kepada 5,163.45.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.39 mata kepada 172.89, Indeks Perladangan jatuh 36.87 mata kepada 7,501.65, Indeks Tenaga naik 9.36 mata kepada 829.48 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 251.96 mata kepada 19,289.03.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 1.85 bilion unit bernilai RM5.16 bilion berbanding 1.32 bilion unit bernilai RM2.07 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 737.63 juta unit bernilai RM86.12 juta daripada 879.56 juta unit bernilai RM100.89 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 424.15 juta unit bernilai RM150.72 juta daripada 391.20 juta unit bernilai RM108.95 juta pada Jumaat lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 260.03 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (369.64 juta), pembinaan (97.05 juta), teknologi (191.57 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (231.07 juta), hartanah (173.33 juta), perladangan (42.30 juta), REIT (19.71 juta), dana tertutup (118,700), tenaga (119.18 juta), penjagaan kesihatan (68.49 juta), telekomunikasi dan media (105.93 juta), pengangkutan dan logistik (42.73 juta), utiliti (125.80 juta), dan amanah perniagaan (118,400).
-- BERNAMA
#fbm klci #Bursa Malaysia #Donald Trump #pelaburan
;