Bursa Malaysia ditutup tinggi, saham wajaran tinggi sokong indeks kekal pada paras 1,600 mata

Bernama
November 26, 2024 20:15 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI naik 5.70 mata, atau 0.35 peratus kepada 1,603.15 berbanding 1,597.45 ketika ditutup pada Isnin. - Gambar fail/bursa.listedcompany.com
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi, berbanding pasaran serantau yang lain pada penutup, dengan prestasi cemerlang saham wajaran tinggi menyokong indeks utama untuk kekal pada paras psikologi 1,600.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.70 mata, atau 0.35 peratus kepada 1,603.15 berbanding 1,597.45 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka lebih tinggi 3.05 mata kepada 1,600.50 dan berlegar antara 1,596.03 dan 1,607.76 sepanjang sesi.
Pasaran yang lebih luas adalah negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 584 berbanding 412, manakala 528 kaunter tidak berubah, 938 tidak diniagakan dan 26 digantung.
Jumlah dagangan menyusut kepada 2.54 bilion unit bernilai RM2.37 bilion berbanding 3.01 bilion unit bernilai RM5.40 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan mengaitkan prestasi yang lebih baik itu disebabkan belian semasa harga rendah yang berterusan dalam komponen indeks diterajui oleh saham perkhidmatan penjagaan kesihatan.
"Peningkatan dalam sektor penjagaan kesihatan amat ketara, didorong oleh pendapatan sembilan bulan saham konstituennya, yang melebihi anggaran konsensus," katanya.
Di peringkat serantau, kebanyakan pasaran Asia ditutup rendah, dengan China ditutup rendah berikutan pelabur memberi reaksi terhadap kenyataan dasar ekonomi terbaharu Presiden terpilih Donald Trump, yang bakal mengenakan tarif import 25 peratus dari Kanada dan Mexico.
China juga bakal dikenakan tarif tambahan berikutan tindakan kurang tegas terhadap isu Fentanyl yang menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan perdagangan.
Di sebalik kebimbangan ini, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng bagaimanapun mengekalkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang pasaran tempatan, disokong oleh penilaian yang menarik, pendapatan yang kukuh dan kestabilan ekonomi domestik.
"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan turun naik dalam julat 1,585-1,615 untuk minggu ini," katanya.
Bagi saham wajaran tinggi, IHH mendahului momentum positif FBM KLCI, naik 21 sen kepada RM7.21, diikuti Petronas Dagangan yang melonjak RM1.68 kepada RM19.10.
YTL Power menokok 14 sen kepada RM3.20, YTL Corp naik 10 sen kepada RM1.95 dan Sime Darby melonjak lapan sen kepada RM2.32.
Dalam kalangan saham aktif, Zen Tech dan Velesto masing-masing kekal tidak berubah pada 1.0 sen dan 18.5 sen, KPJ Healthcare menokok 7.0 sen kepada RM2.40, 3Ren naik 1.5 sen kepada 41 sen, Revenue Group melonjak satu sen kepada 15.5 sen, manakala MYEG susut satu sen kepada 90.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah naik 20.42 mata kepada 12,130.36, Indeks FBM Emas susut 2.37 mata kepada 12,170.95 dan Indeks FBMT 100 turun 2.28 mata kepada 11,876.37.
Indeks FBM 70 merosot 167.07 mata kepada 17,890.85 dan Indeks FBM ACE susut 24.20 mata kepada 5,139.25.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 30.97 mata kepada 7,532.62, namun Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 89.47 mata kepada 19,199.56, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.57 mata kepada 172.32, dan Indeks Tenaga turun 8.35 mata kepada 821.13.
Jumlah dagangan pasaran utama susut kepada 1.22 bilion unit bernilai RM2.15 bilion berbanding 1.85 bilion unit bernilai RM5.16 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran susut kepada 815 juta unit bernilai RM94.54 juta daripada 737.63 juta unit bernilai RM86.12 juta sebelum itu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 507.51 juta unit bernilai RM131.65 juta berbanding 424.15 juta unit bernilai RM150.72 juta sebelum itu.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 212.07 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (192.25 juta), pembinaan (72.31 juta), teknologi (174.61 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (86.10 juta), hartanah (161.63 juta), perladangan (33.54 juta), REIT (12.55 juta), dana tertutup (72,400), tenaga (94.10 juta), penjagaan kesihatan (87.94 juta), telekomunikasi dan media (21.22 juta), pengangkutan dan logistik (21.61 juta), utiliti (49.06 juta), dan amanah perniagaan (83,600 juta).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #syariah #pelaburan
;