Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit

Bernama
September 2, 2024 21:07 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 0.61 mata kepada 1,678.19 daripada paras penutup 1,678.80 pada Jumaat minggu lepas. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit hari ini dengan indeks petunjuk pasaran itu kembali pulih daripada penurunan mendadaknya sebelum ini, mendapat rangsangan daripada lonjakan di kaunter YTL dan CIMB.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.61 mata kepada 1,678.19 daripada paras penutup 1,678.80 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks utama itu dibuka tinggi naik 1.56 mata kepada 1,680.36 dan kemudiannya meningkat ke paras intra hari tertinggi pada 1,683.43 sebelum susut ke paras terendah 1,671.190 semasa sesi pertengahan pagi.
Prestasi keseluruhan pasaran kukuh apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 679 berbanding 467 dengan 464 kaunter tidak berubah, 817 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 3.25 bilion unit bernilai RM3.02 bilion daripada 3.95 bilion unit bernilai RM6.22 bilion.
Para penganalisis berkata prestasi pasaran hari ini dipengaruhi oleh pengambilan untung selepas momentum meningkat pada Jumaat minggu lepas.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata para pelabur terus menunjukkan minat terhadap kaunter pembinaan dan teknologi, memilih menjual saham telekomunikasi, pengangkutan dan tenaga.
"Indeks utama saham serantau mencatatkan keputusan bercampur-campur apabila para peniaga menunggu pengumuman beberapa data ekonomi penting pada minggu ini, yang dijangka memberikan bayangan kemajuan kelonggaran dasar monetari oleh bank-bank pusat utama," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata para pelabur menunggu angka eksport/import China bagi bulan Ogos serta angka imbangan perdagangan dan kadar pengangguran Amerika Syarikat .
Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) Pembuatan Caixin China yang diumumkan hari ini meningkat kepada 50.4 pada Ogos daripada 49.8 in Julai.
"Kami masih optimis dengan tinjauan September, meskipun cabaran yang dikaitkan dengan situasi "September Effect", yang selalunya menjadi bulan yang sukar bagi indeks petunjuk pasaran.
"Sepanjang lima tahun lepas, FBM KLCI secara konsisten mencatatkan pulangan negatif pada bulan September. Bagaimanapun, tahun ini, kami menjangkakan prestasi yang lebih baik, didorong oleh potensi peralihan ke arah dasar monetari yang lebih longgar," katanya.
Oleh itu, beliau tetap yakin ringgit yang lebih kukuh boleh memangkin aktiviti perdagangan, khususnya dalam sektor pengguna, perbankan, pembinaan dan bahan binaan.
Pasaran juga akan memantau rapat pengumuman kadar dasar semalaman oleh Jawatankuasa Dasar Monetari pada minggu ini.
Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi, YTL dan YTL Power naik 12 sen masing-masing kepada RM3.02 dan RM4.00, CIMB meningkat 10 sen kepada RM8.30, IHH Healthcare menokok lapan sen kepada RM6.35 dan Hong Leong Financial Group melonjak 28 sen kepada RM18.98.
Sementara itu Public Bank terus menerajui penurunan dalam kalangan saham wajaran tinggi, susut tujuh sen kepada RM4.75 manakala Petronas Chemicals turun lapan sen kepada RM5.73.
Dalam kalangan kaunter cergas, Talam Transform meningkat setengah sen kepada 3.0 sen, TWL tidak berubah pada 2.5 sen, MRCB menokok 4.5 sen kepada 59.5 sen dan WCT turun empat sen kepada RM1.02.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 25.34 mata kepada 12,509.60, Indeks FBM 70 melonjak 103.03 mata kepada 17,546.95, Indeks FBM ACE menokok 70.51 mata kepada 5,186.60, Indeks FBM Emas Shariah menambah 32.96 mata kepada 12,319.63 dan Indeks FBMT 100 naik 16.64 mata kepada 12,204.26.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 6.85 mata kepada 19,710.68, Indeks Perladangan turun 7.43 mata kepada 7,305.76, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.49 mata kepada 180.91 dan Indeks Tenaga berkurangan 7.42 mata kepada 919.28.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.01 bilion unit bernilai RM2.80 bilion daripada 2.51 bilion unit bernilai RM5.98 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran turun kepada 750.87 juta unit bernilai RM85.90 juta daripada 1.04 bilion unit bernilai RM123.82 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 483.80 juta saham bernilai RM138.52 juta daripada 398.42 juta saham bernilai RM108.68 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 210.47 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (409.34 juta), pembinaan (216.36 juta), teknologi (301.52 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (111.49 juta), hartanah (463.19 juta), perladangan (23.24 juta), REITs (13.14 juta), dana tertutup (7,200), tenaga (95.97 juta), penjagaan kesihatan (39.40 juta), telekomunikasi dan media (28.22 juta), pengangkutan dan logistik (35.43 juta), utiliti (65.21 juta) dan amanah perniagaan (970,600).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #CIMB #Petronas