Bursa Malaysia ditutup rendah dalam persekitaran ketidaktentuan ekuiti global

Bernama
Julai 26, 2024 12:40 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI merosot 2.30 mata atau 0.14 peratus kepada 1,612.88 daripada 1,615.18 ketika ditutup pada Khamis. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini kerana peserta pasaran sebahagian besarnya memilih untuk berada di luar pasaran dan kekal berhati-hati terhadap turun naik yang tinggi dalam ekuiti global.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.30 mata atau 0.14 peratus kepada 1,612.88 daripada 1,615.18 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.19 mata lebih tinggi kepada 1,613.99 dan kemudian bergerak antara 1,610.65 dan 1,616.83 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 569 berbanding 455, dengan 556 kaunter tidak berubah, 943 tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 3.83 bilion unit bernilai RM2.70 bilion daripada 4.55 bilion unit bernilai RM3.11 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI bergerak dalam julat yang ketat hari ini dan pelabur bersikap berhati-hati berikutan turun naik yang tinggi dalam ekuiti global.
"Indeks serantau utama juga menunjukkan corak yang sama atas sebab sama walaupun aktiviti belian saham pada harga rendah berlaku di beberapa bursa saham.
"Saham teknologi utama terus merosot walaupun pada kadar lebih perlahan selepas beberapa laporan mengenai pendapatan yang kurang memberangsangkan daripada sektor itu," katanya kepada Bernama.
Selain itu, Thong berkata pelabur kekal bimbang disebabkan peristiwa tidak dijangka dalam kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) dan mengenai tempoh masa kadar faedah diturunkan oleh bank pusat AS.
Walaupun tekanan sudah berkurangan terhadap ekuiti Malaysia, asas ekonomi yang kukuh, ditambah dengan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) berterusan, keadaan ekonomi bertambah baik dan penilaian yang menarik, atas faktor-faktor ini ia dapat menarik pelabur yang memburu saham berharga murah.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional menambah 2.0 sen kepada RM14.02. Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM10.14, RM4.21 and RM6.26 manakala CIMB Group turun 2.0 sen kepada RM7.17.
Bagi saham aktif, Kucingko yang baru disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 27.0 sen kepada 57.0 sen dan Hubline melonjak 0.5 sen kepada 13.5 sen, Cape EMS menguncup 17.0 sen kepada 71.0 sen manakal OCR Group berkurangan 0.5 sen kepada 9.5 sen dan Ekovest kekal tidak berubah pada 46.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 2.05 mata kepada 12,463.73, Indeks FBMT 100 turun 2.08 mata kepada 12,050.56, Indeks FBM Emas Shariah menambah 1.45 mata kepada 12,741.15, Indeks FBM 70 melonjak 51.80 mata kepada 18,530.15.
Indeks FBM ACE berkurangan 16.77 mata kepada 5,794.09.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 11.30 mata kepada 17,971.92, Indeks Perladangan turun 6.77 mata kepada 7,144.19, Indeks Tenaga naik 7.84 mata kepada 966.13 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.06 mata kepada 191.85.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.02 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 2.27 bilion unit bernilai RM2.70 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.0 bilion unit bernilai RM107.31 juta daripada 1.35 bilion juta unit bernilai RM151.63 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 803.68 juta saham bernilai RM324.97 juta daripada 914.78 juta saham bernilai RM259.84 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 367.92 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (455.65 juta), pembinaan (292.96 juta), teknologi (206.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (76.41 juta), hartanah (162.86 juta), perladangan (21.20 juta), REIT (23.94 juta), dana tertutup (16,300), tenaga (197.0 juta), penjagaan kesihatan (38.77 juta), telekomunikasi dan media (41.81 juta), pengangkutan dan logistik (148.02 juta), utiliti (50.53 juta) dan amanah perniagaan (1.07 juta).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #pelaburan langsung asing #CIMB