Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan aktiviti pengambilan untung

Bernama
Disember 9, 2024 21:00 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 1.82 mata atau 0.11 peratus kepada 1,611.43 daripada 1,613.25 semasa ditutup pada Jumaat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran menurun untuk ditutup rendah pada Isnin, dipengaruhi oleh aktiviti pengambilan untung dalam saham utiliti terpilih berikutan peningkatan sektor yang kukuh sebanyak 4.13 peratus minggu lepas.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.82 mata atau 0.11 peratus kepada 1,611.43 daripada 1,613.25 semasa ditutup pada Jumaat.
Indeks itu dibuka merosot 2.63 mata kepada 1,610.62 dan mencecah paras terendah 1,602.94 pada sesi awal sebelum ditutup pada paras tertinggi harian 1,611.43.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) rendah 1.82 mata atau 0.11 peratus kepada 1,611.43 daripada 1,613.25 semasa ditutup pada Jumaat.
Sentimen pasaran adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 662 berbanding 432 manakala 479 kaunter tidak berubah, 903 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.02 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 3.18 bilion unit bernilai RM2.82 bilion pada Jumaat lepas.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata penutupan dagangan yang lebih lemah turut dipengaruhi oleh pengumuman data inflasi terbaru China yang susut kepada paras terendah dalam tempoh lima bulan.
"Inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) China susut 0.2 peratus tahun ke tahun pada November daripada 0.3 peratus pada Oktober.
"Bacaan lemah yang tidak dijangka ini menekankan peluang yang signifikan bagi pelonggaran dasar monetari selanjutnya pada bulan-bulan akan datang," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata perbincangan pasaran telah tertumpu kepada kepada jangkaan pengurangan Nisbah Keperluan Rizab (RRR) yang hampir pasti berlaku, tetapi data inflasi menunjukkan masih ada ruang untuk menyatukan penurunan RRR dengan pengurangan kadar faedah tambahan.
Di dalam negara, Mohd Sedek berkata statistik tenaga buruh Malaysia bagi Oktober, yang dikeluarkan hari ini, menunjukkan momentum positif yang berterusan dengan bilangan pekerja meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.72 juta.
"Sementara itu, kadar pengangguran kekal stabil pada 3.2 peratus, tidak berubah sejak September, dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.5 peratus. Angka ini mencerminkan kestabilan yang berterusan di pasaran tenaga buruh," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata ekuiti Malaysia mengakhiri hari ini dengan kebanyakannya rendah dalam keadaan prestasi bercampur-campur di seluruh rantau ini.
"Bursa serantau utama ditutup kebanyakannya rendah berikutan sentimen negatif akibat ketegangan geopolitik yang berlaku pada akhir minggu di Syria dan Korea Selatan," katanya.
Thong berkata FBM KLCI mengalami konsolidasi sejak pertengahan September, dipacu oleh sentimen berhati-hati dan jualan asing yang berterusan di tengah-tengah ketiadaan pemangkin pasaran baharu.
"Bagi mendapatkan semula momentum kenaikan, indeks perlu melepasi paras rintangan 1,615 dan mengekalkan arah aliran meningkat. Bagi minggu ini, kami menjangka indeks petunjuk pasaran bergerak dalam julat 1,605-1,625," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun enam sen kepada RM10.10, Public Bank susut 4.0 sen kepada RM4.54 manakala CIMB meningkat 1.0 sen kepada RM8.18, Tenaga Nasional menambah 30 sen kepada RM13.82 dan IHH Healthcare naik 10 sen kepada RM7.42.
Bagi saham aktif, Zen Tech turun setengah sen kepada setengah sen, Supermax menyusut 3.0 sen kepada RM1.03 manakala MYEG naik 2.0 sen kepada 94 sen, Top Glove meningkat 1.0 sen kepada RM1.33 dan Dataprep naik setengah sen kepada 15.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 15.36 mata kepada 12,331.54, Indeks FBMT 100 rendah 11.98 mata kepada 12,015.72, Indeks FBM 70 berkurangan 12.75 mata kepada 18,387.46, dan Indeks FBM ACE rendah 40.37 mata kepada 5,266.82.
Bagaimanapun Indeks FBM Emas Syariah naik 12.08 mata kepada 12,335.21.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 61.07 mata kepada 19,104.54, Indeks Perladangan meningkat 11.58 mata kepada 7,751.84, Indeks Tenaga susut 5.81 mata kepada 823.32, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menurun 1.12 mata kepada 174.68.
Jumlah dagangan Pasaran Utama mencecah 1.58 bilion unit bernilai RM2.15 bilion berbanding 1.58 bilion unit bernilai RM2.54 bilion semasa ditutup Jumaat lepas.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 871.77 juta unit bernilai RM103.66 juta daripada 1.11 bilion unit bernilai RM112.96 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 545.17 juta unit bernilai RM148.35 juta berbanding 454.43 juta unit bernilai RM166.17 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 246.50 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (278.36 juta), pembinaan (75.05 juta), teknologi (329.76 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (83.22 juta), hartanah (142.36 juta), perladangan (43.81 juta), REIT (14.82 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (132.17 juta), penjagaan kesihatan (142.65 juta), telekomunikasi dan media (19.02 juta), pengangkutan dan logistik (25.58 juta), utiliti (42.60 juta), dan amanah perniagaan (111,300).
Sementara itu, Skyworld Development Bhd memohon penggantungan dagangan sahamnya berkuat kuasa 9 pagi, Selasa, 10 Dis 2024, sementara menunggu pengumuman selanjutnya.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Indeks Harga Pengguna #pelaburan
;