Bursa Malaysia ditutup rendah akhiri kenaikan tujuh hari berturut-turut

Bernama
Disember 20, 2023 12:07 MYT
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 465 berbanding 411, manakala 491 kaunter tidak berubah, 950 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini mengakhiri kenaikan tujuh hari berturut-turutnya berikutan aktiviti pengambilan untung pada sesi lewat dagangan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.11 mata kepada 1,464.56 daripada paras penutup 1,465.67.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.76 mata kepada 1,466.43 dan bergerak antara paras 1,464.09 dan 1,470.79 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 465 berbanding 411, manakala 491 kaunter tidak berubah, 950 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.84 bilion unit bernilai RM2.67 bilion daripada 3.72 bilion unit bernilai RM2.42 bilion pada Selasa.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau ditutup bercampur-campur tetapi kebanyakannya tinggi, mendapat rangsangan daripada prestasi positif di Wall Street semalaman dan keputusan Bank of Japan untuk mengekalkan kadar faedahnnya yang dijangka menyokong saham Jepun.
"Sementara itu, para pelabur menunggu pengumuman beberapa data ekonomi dari Amerika Syarikat (AS) lewat minggu ini untuk menilai perkembangan kadar," katanya kepada Bernama.
Di pasaran tempatan, Thong berkata FBM KLCI gagal bertahan di atas paras rintangan 1,465.
"Kami berharap paras ini dapat dilepasi, jika tidak, indeks petunjuk pasaran akan terus stabil pada paras itu bagi satu tempoh pendek, sementara menunggu pemangkin baharu.
"Sekiranya FBM KLCI dapat melepasi paras rintangan 1,465 dan kekal bertahan bagi satu tempoh yang lebih lama, kami menjangka potensi peningkatan lebih kukuh dalam tempoh terdekat.
"Kami menjangkakan indeks utama diniagakan dalam jajaran 1,460-1,470 bagi tempoh berbaki minggu ini dengan paras sokongan segera pada 1,450 dan paras rintangan pada 1,500," katanya.
Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Petronas Chemicals meningkat sembilan sen kepada RM7.18, Maybank susut satu sen kepada RM8.97, Public Bank turun dua sen kepada RM4.32, CIMB jatuh enam sen kepada RM5.90, manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM10.00.
Dalam kalangan kaunter cergas, TWL Holdings meningkat setengah sen kepada 3.5 sen, Jati Tinggi naik empat sen kepada 31 sen, Leform menokok dua sen kepada 41 sen, Top Glove jatuh 3.5 sen kepada 90.5 sen dan Careplus berkurangan 2.5 sen kepada 44 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 5.51 mata kepada 10,859.05, Indeks FBMT 100 turun 3.44 mata kepada 10,527.08, Indeks FBM 70 meningkat 13.89 mata kepada 14,547.91, Indeks FBM ACE menokok 10.74 mata kepada 5,193.87 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 11.99 mata kepada 10,996.68.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 53.75 mata kepada 16,451.95, Indeks Tenaga susut 0.73 mata kepada 817.72, Indeks Perladangan menyusut 6.05 mata kepada 6,998.55, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.26 mata kepada 171.90.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.28 bilion unit bernilai RM2.32 bilion daripada 2.20 bilion unit bernilai RM2.11 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 596.06 juta unit bernilai RM66.46 juta daripada 695.52 juta unit bernilai RM78.32 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 917.97 juta saham bernilai RM284.93 juta daripada 817.79 juta saham bernilai RM228.89 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 277.81 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (485.62 juta); pembinaan (102.47 juta); teknologi (217.81 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (121.86 juta); hartanah (393.74 juta); perladangan (16.39 juta); REITs (6.77 juta), dana tertutup (68,700); tenaga (140.99 juta); penjagaan kesihatan (390.08 juta); telekomunikasi dan media (36.03 juta); pengangkutan dan logistik (33.59 juta); dan utiliti (59.71 juta).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #kaunter untung #indeks utama