Bursa Malaysia ditutup rendah

Bernama
Oktober 11, 2024 20:25 MYT
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 5.15 mata kepada 1,635.79, bergerak antara paras 1,631.89 dan 1,643.07 sepanjang hari dagangan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini seiring dengan prestasi lemah di Wall Street apabila inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan telah melenyapkan harapan penurunan kadar AS yang lebih besar pada bulan depan.
Indeks harga pengguna AS (IHP) meningkat pada kadar tahunan 2.4 peratus pada September, lebih tinggi sedikit daripada jangkaan pakar ekonomi pada 2.3 peratus, tetapi lebih rendah daripada 2.5 peratus pada Ogos.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.39 mata, atau 0.45 peratus, kepada 1,633.55 berbanding paras pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 5.15 mata kepada 1,635.79, bergerak antara paras 1,631.89 dan 1,643.07 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 546 berbanding 420, dengan 526 kaunter tidak berubah, 961 tidak diniagakan dan sembilan digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.29 bilion unit bernilai RM2.67 bilion daripada 2.63 bilion unit bernilai RM2.30 bilion pada Khamis.
Ketua penyelidikan pelaburan di UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata para peniaga kini akan menumpukan perhatian mereka kepada angka indeks harga pengeluar (IHPP) AS yang akan datang untuk mengukur pergerakan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) susulan data IHP dan IHP teras AS yang lebih tinggi daripada jangkaan.
"Ketika ini, pasaran mengambil kira jangkaan penurunan 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) November," katanya kepada Bernama.
Selain itu, beliau berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 4.1 peratus pada Ogos, turun daripada 5.3 peratus pada bulan sebelumnya, meningkatkan kebimbangan aktiviti pembuatan yang lemah boleh berlanjutan ke suku keempat.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.56, CIMB menokok 14 sen kepada RM8.22 dan Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM14.46. Public Bank jatuh 26 sen kepada RM4.31 dan Hong Leong Bank tidak berubah pada RM21.10.
Dalam kalangan kaunter cergas, MY E.G turun 1.5 sen kepada 92 sen, Pertama Digital susut tiga sen kepada 28 sen dan Velocity Capital turun satu sen kepada empat sen. Top Glove naik tiga sen kepada RM1.06 dan EA Holdings tidak berubah pada setengah sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 34.49 mata kepada 12,282.75, Indeks FBMT 100 turun 35.75 mata kepada 11,978.85 dan Indeks FBM ACE berkurangan 1.97 mata kepada 5,148.77.
Manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 0.12 mata kepada 12,210.35 dan Indeks FBM 70 menokok 15.90 mata kepada 17,594.39.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 124.99 mata kepada 19,178.28, Indeks Perladangan menambah 1.86 mata kepada 7,201.41 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 0.25 mata kepada 176.07 dan Indeks Tenaga naik 0.22 mata kepada 882.10.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.44 bilion unit bernilai RM2.52 bilion daripada 1.59 bilion unit bernilai RM2.10 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 480.42 juta unit bernilai RM38.62 juta daripada 656.26 juta unit bernilai RM98.73 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 372.31 juta unit bernilai RM112.18 juta daripada 387.86 juta unit bernilai RM96.43 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 275.95 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (258.89 juta), pembinaan (112.34 juta), teknologi (203.71 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (224.50 juta), hartanah (124.45 juta), perladangan (37.13 juta), REITs (10.10 juta), dana tertutup (93,800), tenaga (54.92 juta), penjagaan kesihatan (70.52 juta), telekomunikasi dan media (20.46 juta), pengangkutan dan logistik (18.31 juta), utiliti (32.27 juta) dan amanah perniagaan (368,100).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Inflasi #rizab persekutuan
;