Bursa Malaysia ditutup rendah

Bernama
September 11, 2024 20:24 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 20.55 mata kepada 1,639.80 daripada paras penutup 1,660.35 semalam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, mencerminkan tekanan jualan yang berlaku di seluruh rantau ini dalam persekitaran kebimbangan terhadap pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dengan indeks utama turun sebanyak 1.24 peratus.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 20.55 mata kepada 1,639.80 daripada paras penutup 1,660.35 semalam.
Indeks utama itu dibuka rendah turun 6.78 mata kepada 1,653.57 dan kemudiannya bergerak antara 1,638.90 dan 1,654.38 sepanjang sesi dagangan.
Prestasi keseluruhan pasaran adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 825 berbanding 283 dengan 432 kaunter tidak berubah, 926 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.
Jumlah dagangan jatuh kepada 2.96 bilion unit bernilai RM3.33 bilion daripada 3.05 bilion unit bernilai RM3.78 bilion.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mencerminkan aliran serantau walaupun prestasi positif di Wall Street apabila pelabur memperoleh keuntungan sementara menunggu hala tuju pasaran yang lebih jelas.
"Sentimen pelabur kekal berhati-hati disebabkan pelbagai faktor. Perdebatan 90 minit pagi ini antara (calon Presiden AS) Donald Trump dan Kamala Harris berakhir tanpa pemenang, tidak seperti kekalahan Joe Biden sebelum ini dalam debatnya dengan Trump yang menyebabkan ketidaktentuan pasaran," katanya kepada Bernama.
Beliau data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang dijadualkan keluar lewat hari ini akan menjadi tumpuan utama.
"Berdasarkan data inflasi sebelum ini dan petunjuk ekonomi Ogos, keseluruhan IHP dijangka meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan seiring dengan kenaikan Julai. Bagaimanapun, IHP tahun ke tahun diunjurkan berkurangan kepada 2.6 peratus, merosot daripada 2.9 peratus pada Julai.
"Angka-angka inflasi ini adalah penting kerana ia akan mempengaruhi keputusan Fed AS mengenai potensi penurunan kadar faedah minggu depan dengan jangkaan pasaran kini cenderung ke arah penurunan 25 mata asas," katanya.
Mohd Sedek berkata di sebalik sentimen berhati-hati ketikaa ini, risiko penurunan adalah terhad disebabkan oleh daya tahan ekonomi domestik Malaysia, pendapatan korporat stabil, pelaburan asing kukuh, kestabilan politik dan potensi perubahan dalam dasar Fed AS bersama dengan pengukuhan ringgit dan minat terhadap risiko dalam kalangan pelabur asing yang semakin meningkat.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata laporan inflasi AS yang akan dikeluarkan minggu ini boleh memberi kesan kepada saiz penurunan kadar faedah oleh Fed yang akan datang.
"Senario terburuk untuk Fed AS adalah inflasi dan pasaran pekerjaan yang semakin lemah kerana menangani mana-mana isu memerlukan tindakan yang sukar," katanya.
Di peringkat tempatan, firma pembrokeran mengekalkan pendirian berhati-hati memandangkan ketidaktentuan di peringkat global.
"Asas ekonomi dan syarikat Malaysia yang kukuh memberi petunjuk pemburuan saham murah mungkin akan berlaku dengan dagangan saham pada tahap yang menarik. Justeru, kami menjangkakan indeks penanda aras akan berada dalam aliran dalam julat 1,640-1,670 untuk beberapa hari ini," katanya.
Walaupun pembelian saham Maybank pada saat-saat akhir yang menyaksikan kaunter itu meningkat empat sen kepada RM10.68, ia tidak dapat meningkatkan FBM KLCI.
Saham wajaran tinggi menyumbang kepada kemerosotan indeks utama, antaranya CIMB berkurangan 22 sen kepada RM8.27, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing turun 11 sen kepada RM4.70 dan RM6.75.
Sementara itu, Petronas Dagangan jatuh 48 sen kepada RM18.60 dan Petronas Chemicals merosot lapan sen kepada RM5.35.
Globetronics adalah saham paling aktif, meningkat tiga sen kepada 57 sen, Sapura Energy kekal pada 3.5 sen, 99 Speed Mart menokok satu sen kepada RM1.90, dan OCR Group tidak berubah pada lima sen.
Antara saham mencatatkan kerugian adalah Nestle merosot RM1.50 kepada RM100.50, Allianz jatuh 80 sen to RM21.00, Malaysian Pacific berkurangan 38 sen kepada RM26.82 dan Kuala Lumpur Kepong merosot 36 sen kepada RM20.80.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 149.22 mata kepada 12,150.68, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 96.64 mata kepada 11,911.57, Indeks FBMT 100 turun 147.11 mata kepada 11,873.20. Indeks FBM 70 menguncup 202.90 mata kepada 16,876.43, Indeks FBM ACE berkurangan 45.18 mata kepada 4,993.78.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 335.29 mata kepada 19,595.84, Indeks Tenaga berkurangan 24.43 mata kepada 853.18, Indeks Perladangan turun 82.46 mata kepada 7,146.36, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 1.18 mata kepada 170.81.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.74 bilion unit bernilai RM3.1 bilion daripada 1.88 bilion unit bernilai RM3.57 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran naik kepada 851.72 juta unit bernilai RM94.41 juta daripada 772.11 bilion unit bernilai RM82.16 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 372.11 juta saham bernilai RM121.93 juta daripada 402.38 juta saham bernilai RM136.17 juta sebelum itu.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 256.5 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (272.46 juta), pembinaan (190.31 juta), teknologi (305.5 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (157.19 juta), hartanah (171.88 juta), perladangan (16.81 juta), REITs (16.57 juta), dana tertutup (600), tenaga (170.32 juta), penjagaan kesihatan (45.28 juta), telekomunikasi dan media (30.57 juta), pengangkutan dan logistik (35.47 juta), utiliti (70.07 juta) dan amanah perniagaan (975,600).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Sapura Energy #Indeks Harga Pengguna #pelaburan
;