Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian

Bernama
November 21, 2024 20:15 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI susut 9.50 mata atau 0.59 peratus kepada 1,588.68 daripada 1,598.18 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian pada Khamis susulan penurunan pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.50 mata atau 0.59 peratus kepada 1,588.68 daripada 1,598.18 ketika ditutup semalam.
Indeks barometer itu dibuka 1.63 mata lebih tinggi kepada 1,599.81 sebelum bergerak antara 1,588.68 dan 1,599.94 sepanjang dagangan hari ini.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 675 berbanding 371 manakala 461 kaunter tidak berubah, 959 kaunter tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.44 bilion unit bernilai RM2.50 bilion daripada 2.72 bilion unit bernilai RM2.44 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah hari ini, didorong oleh penjualan pada saat-saat akhir dalam saham utiliti, mengekalkan indeks di bawah paras psikologi kritikal,1,600.
"Saham perbankan memberikan sedikit sokongan daripada kerugian semalam tetapi ini tidak mencukupi untuk mengimbangi kelemahan yang lebih luas," katanya kepada Bernama.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng pula berkata FBM KLCI bergerak dalam julat yang ketat apabila pelabur kekal berhati-hati kerana kekurangan pemangkin belian.
"Indeks utama Asia sedang menghadapi cabaran besar disebabkan gabungan tekanan ekonomi dan geopolitik. Dasar monetari ketat oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bertujuan untuk mengekang inflasi telah meningkatkan kos pinjaman, menyekat aktiviti ekonomi dalam kalangan pengguna dan perniagaan.
"Pada masa sama, ketegangan geopolitik dan halangan perdagangan telah meningkatkan lagi ketidakstabilan pasaran, mengganggu aliran perdagangan global dan memberi kesan negatif kepada pasaran baharu muncul," katanya.
Di peringkat tempatan, Thong menjangkakan bahawa FBM KLCI dijangka kekal di bawah tekanan jualan, bergerak dalam julat 1,585-1,610 menjelang akhir minggu.
"Sokongan utama terletak pada paras1,585, jika melepas paras berkenaan, ia boleh membawa kepada penurunan seterusnya. Faktor makro seperti pertumbuhan pendapatan korporat dan peningkatan ekonomi akan menjadi kritikal dalam menstabilkan sentimen pasaran.
"Tanpa minat belian yang ketara atau pemangkin positif, indeks boleh kekal dalam fasa penyatuan," kata Thong.
Antara saham berwajaran tinggi, Maybank menambah 8.0 sen kepada RM10.20, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.40, Tenaga Nasional merosot 50 sen kepada RM13.80, IHH Healthcare menguncup 9.0 sen kepada RM7.17 manakala CIMB tidak berubah pada RM8.21.
Bagi saham aktif, Zen Tech International naik 0.5 sen kepada 1.5 sen, MY E.G. menokok 3.0 sen kepada 91 sen manakala V.S Industry susut 4.0 sen kepada RM1.05, MQ Technology jatuh 0.5 sen kepada 11.5 sen manakala Perdana Petroleum tidak berubah pada 28.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah turun 104.04 mata kepada 12,070.85, Indeks FBM 70 kurang 132.99 mata kepada 17,843.66, Indeks FBM Emas menguncup 78.27 mata kepada 12,087.61, Indeks FBMT 100 merosot 75.58 mata kepada 11,791.22, bagaimanapun Indeks FBM ACE naik 8.34 mata kepada 5,197.94.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian melonjak 1.07 mata kepada 172.01, Indeks Perladangan meningkat 108.24 mata kepada 7,566.38, Indeks Tenaga susut 2.81 mata kepada 826.10 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 7.89 mata kepada 19,031.13.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 1.56 bilion unit bernilai RM2.22 bilion daripada 1.37 bilion unit bernilai RM2.19 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.11 bilion unit bernilai RM132.11 juta daripada 849.63 juta unit bernilai RM97.73 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula menambah 768.09 juta unit bernilai RM140.87 juta berbanding 495.86 juta unit bernilai RM155.87 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 282.77 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (417.16 juta), pembinaan (72.74 juta), teknologi (225.01 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (64.50 juta), hartanah (141.20 juta), perladangan (51.27 juta), REIT (16.19 juta), dana tertutup (153,300), tenaga (103.46 juta), penjagaan kesihatan (49.13 juta), telekomunikasi dan media (22.56 juta), pengangkutan dan logistik (42.52 juta), utiliti (73.98 juta) serta amanah perniagaan (26,000).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Inflasi #pelaburan #fbm klci
;