Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi

Bernama
September 13, 2024 20:44 MYT
Pada 5 petang, FBM KLCI melonjak 13.84 mata atau 0.85 peratus kepada 1,652.15 daripada 1,638.31 ketika ditutup semalam. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia menutup dagangannya minggu ini lebih tinggi berikutan jangkaan pelabur terhadap pengumuman Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengenai kadar faedah pada minggu depan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 13.84 mata atau 0.85 peratus kepada 1,652.15 daripada 1,638.31 ketika ditutup semalam.
FBM KLCI dibuka 4.32 mata lebih baik pada paras 1,642.63 dan bergerak antara 1,638.44 dan 1,652.25 sepanjang hari.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 727 berbanding 339, manakala 459 kaunter tidak berubah, 940 tidak diniagakan.dan 26 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.84 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 2.61 bilion unit bernilai RM2.94 bilion pada Khamis.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata berikutan prestasi Wall Street yang kukuh semalaman, FBM KLCI turut dilihat mantap khususnya, menjelang pengumuman Fed pada minggu depan.
"Saya membuat penetapan sekitar 50 mata asas (bp) buat sementara waktu dan saya percaya inflasi yang rendah, selain tanda-tanda dari pasaran buruh, mewajarkan langkah sedemikian. Untuk Fed benar-benar mengukuhkan reputasinya sebagai institusi yang berpandangan ke hadapan, ia mungkin akan membuat pemotongan sebanyak 50 mata asas,
"Peralihan dalam strategi monetari ini boleh menetapkan haluan bagi pemulihan pasaran global yang lebih baik, dan kelihatan seperti FBM KLCI bersedia untuk mengambil peluang ini," katanya kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pemulihan dalam pasaran AS juga telah menyokong saham teknologi tempatan, yang telah terlebih jual.
Bagaimanapun, beliau menyatakan kekuatan ringgit boleh menjejaskan pendapatan pada suku akan datang, berpotensi mengehadkan keuntungan dalam sektor tersebut.
"Kami mengekalkan pandangan positif terhadap sektor pembinaan serta bahan binaan, dengan projek pusat data dijangka mula menyumbang kepada pendapatan syarikat pembinaan.
"Selain itu, pengukuhan ringgit, walaupun berpotensi mengurangkan keuntungan bagi sektor yang dipacu eksport seperti teknologi, mungkin memberi manfaat kepada sektor domestik seperti pengguna, kewangan dan utiliti tertentu," tambahnya.
Di kalangan kaunter wajaran tinggi, Public Bank naik lima sen kepada RM4.70, CIMB melonjak 23 sen kepada RM8.16, Tenaga Nasional menokok 10 sen kepada RM14.78, IHH Healthcare bertambah 13 sen kepada RM6.78, Maybank serta Hong Leong Bank tidak berubah masing-masing pada RM10.64 dan RM21.20, manakala CelcomDigi turun tiga sen kepada RM3.70.
Dalam saham aktif pula, Velesto naik setengah sen kepada 19.5 sen, Genetec adalah empat sen lebih baik kepada 86 sen, WCT mencatatkan kenaikan sebanyak 6.5 sen kepada RM1.01, Globetronics serta OCR, masing-masing tidak berubah pada 55 sen dan enam sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 110.66 mata kepada 12,302.31, Indeks FBM Emas Shariah bertambah baik sebanyak 126.24 mata kepada 12,115.81, dan Indeks FBMT 100 memperoleh 108.91 mata kepada 12.016.30.
Indeks FBM 70 merekodkan keuntungan sebanyak 187.33 mata kepada 17,281.88, manakala Indeks FBM ACE meningkat 50.57 mata kepada 5,084.24.
Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 39.45 mata kepada 19,551.10, Indeks Tenaga meningkat 15.17 mata kepada 862.81, Indeks Perladangan mengukuh 16.21 mata kepada 7,180.73, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mantap 2.17 mata kepada 175.15.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 1.54 bilion unit bernilai RM2.51 bilion berbanding 1.41 bilion unit bernilai RM2.73 bilion yang disaksikan semalam.
Perolehan waran bertambah kepada 997.96 juta unit bernilai RM125.24 juta daripada 777.39 juta unit bernilai RM87.39 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE mengecil kepada 301.37 juta unit bernilai RM103.85 juta berbanding 335.82 juta unit bernilai RM109.13 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 163.75 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (234.91 juta), pembinaan (184.16 juta), teknologi (250.07 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (129.27 juta), hartanah (234.33 juta), perladangan (14.66 juta), REIT (8.21 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (141.77 juta), penjagaan kesihatan (32.69 juta), telekomunikasi dan media (24.22 juta), pengangkutan dan logistik (42.68 juta ), utiliti (77.03 juta) serta amanah perniagaan (579,000).
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #pusat data #Wall Street
;