Bursa Malaysia dijangka teruskan momentum meningkat

Bernama
Disember 26, 2015 10:36 MYT
Pelabur dijangka memulakan 'beli-belah pratahun baru' mereka kerana minggu depan adalah minggu terakhir 2015.. - Gambar fail
Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum meningkatnya minggu depan, dengan belian saham harga rendah akan menolak indeks tempatan ke paras lebih tinggi.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, pelabur dijangka memulakan 'beli-belah pratahun baru' mereka kerana minggu depan adalah minggu terakhir 2015.
"Disember dan Januari selalunya bulan belian bermusim untuk pelabur pasaran saham. Dengan harga minyak mulai pulih, kami menjangka akan berlaku belian awal untuk tahun depan," katanya kepada Bernama.
Beliau menjangka bursa tempatan akan diniagakan di antara 1,660 hingga 1,680 mata minggu depan.
Sentimen itu akan turut disokong keputusan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedahnya, yang menamatkan ketidaktentuan di kalangan pelabur, dengan memberikan mereka hala tuju pelaburan yang lebih jelas.
"Selain itu, pelabur juga menunggu pakej rangsangan China pada awal Januari, yang dijangka positif," tambahnya.
Ekonomi kedua terbesar dunia itu baru-baru ini mengakhiri mesyuarat perancangan tahunannya, berjanji untuk menjadi lebih proaktif dan fleksibel dalam menggunakan dasar fiskal dan monetari agar pertumbuhan dalam keadaan baik.
Di pasaran tempatan, Nazri berkata, pergerakan ringgit dan Perkongsian Trans Pasifik dijangka menjadi pemacu utama prestasi FBM KLCI.
"Ringgit perlu meningkat kerana harga komoditi telah pulih," tambahnya. Pasaran ditutup pada Khamis dan Jumaat sempena cuti Maulidur Rasul dan Krismas.
Pada asas mingguan, penanda aras utama FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) ditutup pada 1,663.30, naik 19.4 mata berbanding 1,643.90 minggu lepas.
Indeks Emas FBM meningkat 143.29 mata kepada 11,627.71, Indeks FBMT100 naik 144.21 mata kepada 11,624.71, Syariah Emas FBM menokok 214.71 mata kepada 12,605.78, FBM 70 menambah 205.81 mata kepada 13,044.88 tetapi FBM Ace jatuh 1.20 mata kepada 6,332.67.
Di segi sektor, Indeks Kewangan merosot 25.52 mata kepada 14,013.94, Indeks Perladangan meningkat 91.74 mata kepada 7,505.73 dan Indeks Perusahaan jatuh 5.55 mata kepada 3,189.24.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 5.08 bilion unit bernilai RM4.78 bilion berbanding 8.38 bilion unit bernilai RM9.70 bilion dicatat minggu lepas.
Volum Pasaran Utama jatuh kepada 3.39 bilion unit bernilai RM4.41 bilion berbanding 5.29 bilion unit bernilai RM8.78 bilion.
Jumlah dagangan waran turun kepada 629.11 bilion unit bernilai RM115.16 juta berbanding 1.28 bilion unit bernilai RM449.19 juta.
Pasaran ACE jatuh kepada 1.06 bilion unit bernilai RM256.23 juta berbanding 1.8 bilion unit bernilai RM429.52 juta.
#belian saham #Bursa Malaysia #Nazri Khan Adam #ringgit
;