Bursa Malaysia dijangka pada paras 1420-1450 mata minggu ini
Astro Awani
Mei 24, 2020 07:30 MYT
Mei 24, 2020 07:30 MYT
Bursa Malaysia dijangka bergerak di antara paras 1,420 dan 1,450 mata minggu ini, disokong oleh pembelian kaunter sarung tangan getah dan logistik.
Naib Presiden (Penyelidikan) Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau berkata berdasarkan perkembangan vaksin COVID-19 yang masih samar, saham sarung tangan getah dijangka terus menjadi tumpuan.
Beliau berkata dagangan aktif syarikat logistik Gdex pada Jumaat juga dijangka memberi kesan limpahan minggu ini.
Bagaimanapun, menurutnya, faktor luaran terutama ketegangan meningkat di antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan terus mempengaruhi sentimen pelabur.
Lau berkata pelabur yang mungkin selesa berada di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan terus berminat untuk melabur melalui platform dalam talian.
Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya tidak beroperasi pada Isnin dan Selasa susulan cuti umum sempena Aidilfitri yang jatuh pada Ahad.
Dagangan akan disambung semula pada Rabu.