Bursa Malaysia dibuka tinggi susulan saham wajaran tinggi pulih

Bernama
September 3, 2024 11:20 MYT
Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.54 mata kepada 1,682.73 daripada 1,678.19 ketika ditutup pada Isnin. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa susulan saham wajaran tinggi pulih daripada penurunan pada sesi dagangan sebelum ini.
Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.54 mata kepada 1,682.73 daripada 1,678.19 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks itu dibuka 0.37 mata lebih rendah kepada 1,677.82.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 183 berbanding 107, manakala 267 kaunter tidak berubah, 1,870 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 112.08 juta unit bernilai RM57.55 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup untuk Hari Pekerja Amerika Syarikat (AS) semalam dengan peniaga menjangkakan sesi dagangan tidak menentu kelak apabila pasaran dibuka semula seperti yang digambarkan oleh niaga hadapan saham yang tidak stabil.
"Di peringkat tempatan, suasana pasaran mungkin berubah kepada berhati-hati seperti yang dicerminkan oleh penurunan dalam jumlah dagangan harian.
"Kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,680-1,690 hari ini. Kami percaya pengumpulan saham oleh dana asing akan berterusan terutamanya selepas musim pendapatan korporat yang baik, ia mungkin menghasilkan beberapa peningkatan dalam pertumbuhan pendapatan bagi 2024," katanya.
Antara saham wajaran tinggi, YTL dan YTL Power meneruskan peningkatan, masing-masing naik enam sen kepada RM3.08 and RM4.06 manakala Tenaga Nasional melonjak 16 sen kepada RM14.72, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah dua sen kepada RM4.77 dan RM5.75.
Bagi kalangan kaunter aktif, Luster Industries tidak berubah pada tujuh sen, Widad dan Cape EMS masing-masing naik 0.5 sen kepada 5.5 sen dan 37.5 sen manakala Notion Vtec menokok tujuh sen kepada RM1.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 37.84 mata kepada 12,547.44, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 36.66 mata kepada 12,356.29, Indeks FBMT 100 naik 36.38 mata kepada 12,240.64, Indeks FBM 70 menokok 64.94 mata kepada 17,611.89 dan Indeks FBM ACE menambah 14.87 mata kepada 5,201.47.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 41.53 mata kepada 19,752.21, Indeks Perladangan meningkat 7.12 mata kepada 7,312.88, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan melonjak 0.12 mata kepada 181.03 dan Indeks Tenaga menambah 0.42 mata kepada 919.70.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #saham wajaran tinggi