Bursa Malaysia dibuka tinggi susulan kenaikan Wall Street

Bernama
September 10, 2024 11:00 MYT
Volum dagangan harian semalam meningkat kebanyakannya disebabkan oleh penampilan sulung 99 Speedmart di Pasaran Utama Bursa Malaysia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Selasa susulan kenaikan pasaran saham di Amerika Syarikat (AS) semalam selepas mencatatkan kerugian sebelum ini.
Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.85 mata kepada 1,653.34 daripada 1,651.49 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks itu dibuka 2.31 mata lebih rendah kepada 1,653.80.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 245 berbanding 89, manakala 252 kaunter tidak berubah, 1,869 kaunter tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.
Jumlah dagangan 128.21 juta unit bernilai RM81.72 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi dalam persekitaran beberapa kegiatan memburu saham murah berikutan kerugian sebelum ini, menjelang keputusan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka akan berlaku dalam tempoh satu minggu.
"Volum dagangan harian semalam meningkat kebanyakannya disebabkan oleh penampilan sulung 99 Speedmart di Pasaran Utama Bursa Malaysia. Jika tidak, sentimen pasaran masih dalam mod berhati-hati walaupun aliran masuk dana asing bersih masih kelihatan.
"Justeru, kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,650-1,660 hari ini," katanya kepada Bernama.
Di peringkat serantau, kebanyakan pasaran Asia dilihat berkongsi sentimen yang sama.
Straits Times Singapura meningkat 0.50 peratus kepada 3,513.88, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.52 peratus kepada 36,404.36, Hang Seng Hong Kong tidak berubah pada 17,196.96 dan Kospi Korea Selatan 0.18 peratus lebih tinggi pada 2,540.45.
Tenaga Nasional mendahului senarai untung dalam kalangan saham wajaran tinggi, menambah 12 sen kepada RM14.76 manakala Maybank dan YTL masing-masing meningkat empat sen kepada RM10.94 dan RM2.43, Hong Leong Bank naik 16 sen kepada RM21.10, dan Sunway melonjak lima sen kepada RM4.01.
Bagi kalangan kaunter aktif, 99 Speed Mart, turun satu sen kepada RM1.87; Velesto Energy naik satu sen kepada 19.5 sen manakala Eversendai dan waran Eversendai kedua-duanya masing-masing melonjak dua sen kepada 60 sen dan 36 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 36.18 mata kepada 12,547.44, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 53.70 mata kepada 12,066.04, Indeks FBMT 100 naik 22.43 mata kepada 12,984.98, Indeks FBM 70 menokok 65.81 mata kepada 17,087.16 dan Indeks FBM ACE menambah 27.19 mata kepada 5,083.24.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 6.09 mata kepada 19,727.77, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan melonjak 1.38 mata kepada 174.64, Indeks Tenaga menambah 7.71 mata kepada 865.58 dan Indeks Perladangan meningkat 12.49 mata kepada 7,179.29.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Wall Street #saham #pasaran
;