Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit, kehendak risiko semakin baik
Bernama
Oktober 24, 2023 11:00 MYT
Oktober 24, 2023 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kehendak risiko yang semakin baik mendorong Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit pagi ini meskipun kalangan bursa serantau masih dalam sentimen berhati-hati, kata seorang peniaga.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.73 mata kepada 1,439.85 daripada 1,438.12 penutup Isnin.
Indeks utama penanda aras dibuka pada paras 1,438.28, meningkat 0.16 mata.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi 162 berbalas 136, manakala 250 kaunter tidak berubah, 1,820 tidak diniagakan dan 13 digantung.
Jumlah dagangan 291.23 juta unit bernilai RM81.05 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran secara keseluruhan kekal pesimis apabila pelabur masih bimbang tentang keadaan ekonomi global dan ketegangan geopolitik.
"Justeru, kami mengunjurkan indeks penanda aras bergerak mendatar dalam julat 1,435-1,445 hari ini," katanya kepada Bernama.
Beliau juga berkata pelabur dijangka mengumpul saham mewah seperti perbankan dan telekomunikasi untuk strategi pertahanan yang lebih baik.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank, CIMB dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing mencatatkan harga RM8.99, RM4.16, RM5.66 dan RM7.07, manakala Tenaga Nasional naik lima sen kepada RM9.90.
Bagi saham aktif, Metronic dan Aldrich turun setengah sen menjadi 1.5 sen dan empat sen, Revenue Group menambah 1.5 sen kepada 22.5 sen manakala Tanco dan Widad, kedua-duanya kekal pada 58 sen dan 53.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 17.16 mata kepada 10,594.97, Indeks FBM Emas Syariah mengembang 22.08 mata menjadi 10,819.25 dan Indeks FBMT 100 lebih tinggi 17.25 mata kepada 10,278.70.
Indeks FBM 70 pula meraih 44.75 mata kepada 13,899.56 dan Indeks FBM ACE naik 7.23 mata kepada 5,031.93.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian peroleh 0.24 mata untuk mencatatkan paras 170.49, Indeks Tenaga mengukuh 2.72 mata menjadi 870.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.51 mata kepada 16,207.33 dan Indeks Perladangan peroleh 8.53 mata kepada 6,882.14.
-- BERNAMA