Bursa Malaysia dibuka tinggi namun turun selepas itu berikutan pengambilan untung

Bernama
Ogos 18, 2023 11:52 MYT
Menurut Malacca Securities pelabur akan menumpukan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2023 yang akan diumumkan hari ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat namun mengalami penurunan selepas itu berikutan pengambilan untung yang berlanjutan di kaunter berwajaran tinggi terpilih, dalam keadaan sentimen yang kebanyakannya lemah dalam bursa serantau, kata peniaga.
Pada 9.34 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.67 mata kepada 1,446.31 daripada 1,447.98 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks utama itu dibuka 1.25 mata lebih tinggi kepada 1,449.23.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 342 berbanding 154, manakala 310 kaunter tidak berubah, 1,542 kaunter tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 546.91 juta unit bernilai RM219.92 juta.
Menurut Malacca Securities pelabur akan menumpukan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2023 yang akan diumumkan hari ini.
"Kami percaya pasaran mungkin memberi reaksi positif sekiranya angka yang dilaporkan melebihi jangkaan konsensus Bloomberg iaitu 3.6 peratus pertumbuhan tahun ke tahun," jelasnya dalam nota penyelidikan.
Pada masa sama, firma pembrokeran itu juga menjangkakan sektor hartanah meneruskan pergerakan positif.
Ini kerana menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) kebanyakan peserta hartanah menjadi lebih optimistik pada separuh pertama 2024, tambahnya.
"Data kenderaan yang kukuh mungkin meningkatkan saham berkaitan automotif, manakala sektor tenaga mungkin bergerak seiring dengan harga minyak mentah yang lebih tinggi," jelasnya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 2.0 sen kepada RM8.99, Petronas Chemicals meningkat 1.0 sen kepada RM6.80, Public Bank tidak berubah pada RM4.16, manakala CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing menguncup 6.0 sen kepada RM5.58 dan RM9.89.
Bagi saham aktif, Hong Seng susut setengah sen kepada 6.0 sen, manakala Tanco naik 1.0 sen kepada 56 sen, Parkson menambah 3.0 sen kepada 25 sen dan Awanbiru meningkat 2.0 sen kepada 19.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 18.10 mata kepada 10,661.47; Indeks FBMT 100 susut 16.32 mata kepada 10,348.34; Indeks FBM Emas Syariah kurang 15.37 mata kepada 10,862.05; Indeks FBM 70 menguncup 40.94 mata kepada 14,097.31 dan Indeks FBM ACE merosot 55.69 mata kepada 5,257.85.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 26.22 mata kepada 16,267.24; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.23 mata kepada 167.44; Indeks Tenaga kurang 0.96 mata kepada 813.91 namun, Indeks Perladangan meningkat 30.67 mata kepada 9,951.53.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #pengambilan untung #fbm klci #kaunter rugi
;