Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki prestasi semalaman Wall Street

Bernama
Oktober 10, 2024 11:20 MYT
Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.70 mata kepada 1,639.61 daripada 1,634.91 ketika ditutup pada Rabu. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, menjejaki prestasi positif Wall Street semalaman, kata penganalisis.
Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.70 mata kepada 1,639.61 daripada 1,634.91 ketika ditutup pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka 4.84 mata lebih tinggi kepada 1,639.75.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 183 berbanding 107, manakala 245 kaunter tidak berubah, 1,906 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 119.77 juta unit bernilai RM42.94 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) AS menambah 432 mata manakala Nasdaq memperoleh 109 mata dengan hasil 10 tahun Perbendaharaan AS naik kepada 4.07 peratus.
"Di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot sekali lagi apabila indeks itu merosot hampir 290 mata kepada hampir paras 20,500 dalam persekitaran kemerosotan di pasaran Shanghai dan Shenzhen berikutan sidang akhbar yang memberi petunjuk negatif oleh perancang ekonomi China beberapa hari lalu," katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan pula, Thong menganggap corak dagangan akan bertambah baik, mengambil petunjuk daripada pasaran AS yang positif, justeru beliau menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,635-1,645 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM10.56, CIMB menokok tiga sen kepada RM8.06 manakala Tenaga Nasional, IHH Healthcare dan Hong Leong Bank masing-masing tidak berubah pada RM14.42. RM7.22 dan RM21.10.
Bagi kaunter aktif, Autoris Group melonjak 20 sen kepada 30 sen, Pertama Digital meningkat 1.5 sen kepada 26 sen, TWL Holdings, Borneo Oil and Mag Holdings naik 0.5 sen masing-masing kepada tiga sen, satu sen dan 17 sen.
Di papan indeks, indeks FBM Emas meningkat 34.01 mata kepada 12,304.52, indeks FBM Emas Shariah menambah 36.57 mata kepada 12,203.20, Indeks FBMT 100 menokok 34.35 mata kepada 12,003.18, Indeks FBM 70 naik 49.86 mata kepada 17,555.54 manakala Indeks FBM ACE menokok 3.58 mata kepada 12,003.18.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 47.22 mata kepada 19,292.91, Indeks Perladangan naik 19.52 mata kepada 7,191.69 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.08 mata kepada 176.36, manakala Indeks Tenaga turun 2.15 mata kepada 881.91.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #ftse
;