KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kembali meningkat dan dibuka lebih tinggi sedikit pada urus niaga pagi Jumaat, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang kukuh.

Kebanyakan para pelabur mengunjurkan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mengekalkan kadar faedah semasa untuk lebih lama walaupun terdapat bayangan lebih banyak kenaikan kadar pada masa hadapan.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sedikit iatu 0.23 mata kepada 1,381.96 daripada 1,381.73 pada penutup semalam.

Indeks utama dibuka pada paras 1,382.42, mengukuh 0.69 mata.

Pergerakan harga di pasaran positif, menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 201 berbalas 111, manakala 239 kaunter tidak berubah, 1,733 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 304.24 juta unit bernilai RM97.33 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) mengukuh 429 mata manakala Nasdaq melonjak 156 mata apabila hasil 10 tahun AS susut sedikit kepada 3.72 peratus.

"Ketiadaan kenaikan kadar di AS juga menyaksikan saham Hong Kong mengembang 420 mata dirangsangkan lagi oleh pengurangan kos pinjaman dalam usaha untuk memulihkan ekonomi yang terjejas," katanya kepada Bernama.

Thong menjelaskan FBM KLCI ditutup rendah semalam selepas kemunculan aktiviti pengambilan untung.

"Untuk hari ini, kami mengunjurkan indeks berlegar dalam julat 1,380-1,390. Minat belian mungkin kembali kepada sektor teknologi hari ini berikutan penurunan jualan semalam.

"Harga minyak mentah turut mengukuh dengan minyak mentah Brent ditutup hampir kepada US$76 setong," tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing menambah dua sen kepada RM8.62 dan RM9.13 manakala CIMB susut satu sen menjadi RM4.99 dan Public Bank serta IHH Healthcare tidak berubah pada RM3.85 dan RM5.80.

Bagi saham aktif, TWL Holdings, Classita dan Tanco masing-masing kekal pada tiga sen, 10 sen dan 50 sen manakala Sarawak Consolidated dan Priceworth International masing-masing naik setengah sen kepada 42.5 sen dan 14.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 13.30 mata pada 10,226.02, Indeks FBMT 100 meningkat 12.70 mata menjadi 9,919.12 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 15.78 mata kepada 10,580.31.

Indeks FBM 70 menambah 63.04 mata kepada 13,642.51 dan Indeks FBM ACE naik 29.01 mata kepada 5,133.82.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 2.34 mata kepada 789.56, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian peroleh 0.33 mata kepada 159.22 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 4.57 mata kepada 15,208.58 manakala Indeks Perladangan susut 7.27 mata kepada 6,693.40.

-- BERNAMA