Bursa Malaysia dibuka tinggi didorong belian saham mewah terpilih
Bernama
Februari 5, 2025 11:05 MYT
Februari 5, 2025 11:05 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini dipacu oleh belian saham wajaran tinggi terpilih dan saham pembinaan, kata penganalisis.
Pada jam 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.76 mata kepada 1,565.32 daripada 1,564.56 pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.07 mata kepada 1,565.63.
Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 141 berbanding 75 manakala 205 kaunter kekal tidak berubah, 1,897 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 147.57 juta unit bernilai RM66.96 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata memandangkan penurunan dalam sektor pembinaan sejak bulan lepas, ia akan menyebabkan aktiviti belian saham semasa harga murah untuk industri itu, disokong oleh inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) dan pembangunan pesat pusat data di negara ini.
"Walaupun peniaga berhati-hati terhadap kaunter sarung tangan berikutan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menangguh pelaksanaan tarif terhadap Mexico dan Kanada, kami percaya pelabur mungkin menunggu disebabkan pengumuman pendapatan semakin hampir, selain itu kami juga menjangkakan pertumbuhan dalam pendapatan mereka," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Ia berkata peniaga akan terus memantau Indeks Pengurus Pembelian (IPP nukan Pembuatan ISM), IPP Perkhidmatan Global S&P dan IPP Perkhidmatan Caixin China hari ini untuk mengatur langkah seterusnya.
Di pasaran saham tempatan, firma pembrokeran itu menyarankan Oriental Kopi kerana potensi pertumbuhannya yang pesat, pemindahan syarikat itu ke pasaran utama dan status shariah yang dijangkakan memberi petunjuk positif.
Dari segi teknikal, ia menjangka rintangan berada di sekitar 1,579-1,584 manakala sokongan diunjurkan pada 1,544-1,549.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat 10.0 sen kepada RM13.64, Gamuda naik 5.0 sen keada RM4.23, YTL Corporation and Maxis menambah 2.0 sen, masing-masing kepada RM1.90 dan RM3.55 manakala Public Bank melonjak 1.0 sen kepada RM4.41.
Bagi saham aktif, Harvest Miracle Capital menokok 1.0 sen kepada 20.5 sen dan Oriental Kopi melonjak 0.5 sen kepada 92 sen sementara Advance Synergy, Bintai Kinden dan Velesto Energy tidak berubah masing-masing pada 9.5 sen, 10 sen dan 18 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 17.82 mata kepada 11,952.65, Indeks FBMT 100 menambah 16.66 mata kepada 11,648.32, Indeks FBM Emas Shariah naik 29.57 mata kepada 11,784.34 Indeks FBM ACE meningkat 21.59 mata kepada 5,239.68 dan Indeks FBM 70 naik 68.40 mata kepada 17,736.26.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 28.29 mata kepada 18,998.96,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.12 mata kepada 164.62, Indeks Perladangan meningkat 13.54 mata kepada 7,386.62 manakala Indeks Tenaga susut 3.56 mata kepada 816.95.
-- BERNAMA