KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, dipacu oleh data eksport China yang dianggarkan positif, yang akan diumumkan hari ini, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 4.96 mata kepada 1,619.69 daripada 1,614.73 semasa ditutup semalam.

Indeks pertunjuk pasaran dibuka meningkat 1.24 kepada 1,615.97

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 312 berbanding 159, dengan 318 kaunter tidak berubah, 1,594 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 312.50 juta saham bernilai RM174.85 juta.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pasaran Asia, termasuk Malaysia, didagangkan lebih tinggi hari ini, didorong oleh data eksport China, yang dijangka dikeluarkan hari ini.

"Anggaran awal menunjukkan eksport China mungkin akan meningkat pada Mei apabila permintaan luar semakin kukuh. Kami menjangkakan eksport yang lebih pantas akan meraih daya tarikan untuk menyokong pemulihan yang diteraju oleh pembuatan.

"Prospek positif terhadap pertumbuhan eksport China boleh meningkatkan keyakinan pelabur di pasaran Asia, termasuk Bursa Malaysia, memandangkan eksport yang lebih kukuh menunjukkan aktiviti ekonomi yang mantap di rantau ini, yang berpotensi memanfaatkan syarikat Malaysia yang terlibat dalam pembuatan dan perdagangan," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing menokok 1.0 sen sen kepada RM9.99 dan RM4.14, Tenaga Nasional melonjak 16.0 sen kepada RM13.86, dan IHH Healthcare menambah 2.0 sen kepada RM6.26.

Sementara itu, CIMB berkurangan 1.0 sen kepada RM6.94.

Bagi saham aktif, Jati Tinggi Group menambah 6.0 sen kepada 41.5 sen, dan Datasonic Group dan Kinergy Advancement masing-masing menokok setengah sen kepada 55.5 sen dan 36.5 sen, dan Powerwell Holdings tidak berubah pada 51 sen. JCY International berkurangan setengah sen kepada 61.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 40.01 mata kepada 12,343.70, Indeks FBMT 100 menambah 38.44 mata kepada 11,934.21, dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 53.47 mata kepada 12,629.65.

Indeks FBM 70 meningkat 64.62 mata kepada 17,705.47, dan Indeks FBM ACE naik 0.33 mata kepada 5,500.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 19.53 mata kepada 17,656.96, Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 21.38 mata kepada 2,150.13, dan Indeks Perladangan naik 7.21 mata kepada 7,120.07.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.35 mata kepada 196.89.

-- BERNAMA