Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bernama
Ogos 12, 2024 03:20 MYT
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.21 mata kepada 1,601.26 daripada 1,596.05 pada Jumaat lepas. -Gambar hiasan/Dagang News
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah yang diterajui oleh kaunter utiliti, kata penganalisis.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.21 mata kepada 1,601.26 daripada 1,596.05 pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka tinggi 2.48 mata kepada 1,598.53.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 264 berbanding 108, dengan 239 kaunter tidak berubah, 1,831 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 141.79 juta unit bernilai RM67.02 juta.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun FBM KLCI ditutup positif pada Jumaat lepas, indeks petunjuk pasaran berada di bawah paras psikologi pada 1,600 berikutan aktiviti pengambilan untung.
"Kami percaya aliran berita positif baru-baru ini terutamanya daripada Infineon dan pelaburan tambahan sebanyak RM30 bilion di Kulim akan menambah keyakinan terhadap sektor teknologi negara.
"Hari ini, kami menjangka indeks akan berada dalam julat 1,595-1,610," katanya.
Minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat semikonduktor global Infineon Technologies AG (Infineon) akan memperuntukkan pelaburan tambahan sebanyak RM30.1 bilion untuk membiayai Fasa 2 pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter terbesar dunia di Kulim, Kedah.
Di Bursa Malaysia, dalam kalangan saham wajaran tinggi, YTL Corporation, YTL Power International dan Sunway, masing-masing meningkat 6.0 sen kepada RM3.30, RM4.41 dan RM4.12.
Tenaga menambah 8.0 sen kepada RM14.02 manakala CIMB dan IHH Healthcare, masing-masing naik 4.0 sen kepada RM7.34 dan RM6.26.
Kaunter aktif turut menyaksikan aliran meningkat apabila Cape EMS naik 1.5 sen kepada 53.5 sen, Techna-X menambah 1.0 sen kepada 18 sen manakala OCR, Ekovest dan Hubline, masing-masing meningkat setengah sen kepada 7.0 sen, 41 sen dan 9.0 sen.
Bintai Kinden merosot setengah sen kepada 11.5 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Allianz naik 50 sen kepada RM20.90, MSM menambah 14 sen kepada RM1.79, Notion Vtech meningkat 11 sen kepada RM1.81 dan Aurelius Technologies menokok 10 sen kepada RM3.43.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 44.45 mata kepada 12,219.62, Indeks FBMT 100 meningkat 41.09 mata kepada 11,848.68, Indeks FBM 70 menambah 70.81 mata kepada 17,779.80, Indeks FBM ACE menokok 33.34 mata kepada 5,411.00 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 42.16 mata kepada 12,370.65.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 53.00 mata kepada 18,106.83, Indeks Tenaga naik 3.93 mata kepada 925.57, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.63 mata kepada 181.92, Indeks Perladangan menokok 0.57 mata kepada 7,074.49 dan Indeks Teknologi naik 0.37 mata kepada 71.52.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #aktiviti belian saham #kaunter untung