Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bernama
Julai 15, 2024 11:20 MYT
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.94 mata kepada 1,620.0 daripada 1,619.06 pada Jumaat lepas. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pada minggu ini dengan mencatatkan peningkatan, menjejaki prestasi Wall Street yang tinggi pada Jumaat lepas.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.94 mata kepada 1,620.0 daripada 1,619.06 pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka tinggi 0.80 mata kepada 1,619.86.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 233 berbanding 161, dengan 359 kaunter tidak berubah, 1,713 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 239.24 juta unit bernilai RM96.07 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd menjangka peniaga akan menerima lebih banyak pendedahan dalam pasaran tempatan dan percaya pemangkin pusat data secara keseluruhan akan meningkatkan permintaan terhadap saham dalam sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti serta dijangka menyediakan peluang untuk membeli saham pada harga rendah.
"Selain itu, kami memilih saham tertentu dalam sektor sarung tangan, solar dan pembungkusan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut Malacca Securities, peniaga akan memantau pertumbuhan ekonomi China yang akan dikeluarkan pada minggu ini selain meneliti jualan runcit teras, pengeluaran perindustrian, tuntutan pengangguran dan pendapatan korporat AS.
Daripada saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB, masing-masing menambah dua sen kepada RM10.06 dan RM14.48, CelcomDigi naik satu sen kepada RM3.61 manakala Public Bank, CIMB, IHH Healthcare dan Press Metal, masing-masing tidak berubah pada RM4.11, RM7.13, RM6.33 dan RM5.95.
Dalam kalangan kaunter paling aktif, Aimflex dan JAKS, masing-masing naik setengah sen kepada 21 sen dan 18 sen, UUE Holdings meningkat dua sen kepada 94.5 sen, Ramssol melonjak tujuh sen kepada 75.5 sen, Kanger International tidak berubah pada 5.5 sen dan Ekovest merosot setengah sen kepada 50 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 9.99 mata kepada 12,550.69, Indeks FBMT 100 meningkat 7.11 mata kepada 12,117.73, Indeks FBM Emas Shariah menambah 7.30 mata kepada 12,922.50, Indeks FBM 70 naik 11.32 mata kepada 18,684.51 dan Indeks FBM ACE menokok 32.42 mata kepada 6,013.63.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 15.93 mata kepada 17,816.04, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.15 mata kepada 201.11, Indeks Perladangan menambah 5.48 mata kepada 6,949.19, bagaimanapun Indeks Tenaga merosot 1.61 mata kepada 982.91.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #Wall Street #pusat data