Bursa Malaysia dibuka rendah, Wall Street pamer sentimen bercampur-campur
Bernama
November 30, 2022 10:20 MYT
November 30, 2022 10:20 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan kerugian semalam untuk dibuka lebih rendah pada sesi dagangan awal Rabu, manakala Wall Street mempamerkan sentimen yang bercampur-campur.
Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.88 mata kepada 1,473.08 daripada 1,476.96 penutup semalam.
Pasaran dibuka pada paras 1,476.22, turun sedikit sebanyak 0.74 mata.
Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan 145 kaunter untung dan 152 kaunter rugi manakala 254 kaunter tidak berubah, 1,739 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 353.69 juta unit bernilai RM75.44 juta.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI "berehat" seketika di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung membabitkan saham wajaran tinggi terpilih selepas berakhirnya pilihan raya ke-15.
Selain itu, dengan sesi penutupan Wall Street yang bercampur-campur semalaman menjelang ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell yang usaha memerangi inflasi akan berlarutan sehingga 2023, sentimen tidak menentu mungkin turut dirasai oleh pasaran tempatan.
"Walau bagaimanapun, peniaga akan memberi tumpuan kepada musim laporan yang berterusan pada masa ini," katanya.
Sementara itu, pasaran masih menantikan pembentukan Kabinet Malaysia yang mungkin memberi petunjuk untuk pertumbuhan Malaysia pada masa hadapan, kata firma broker saham itu.
"Memandangkan persediaan yang tidak menentu, kami menjangkakan pelabur memberi tumpuan kepada sektor berdaya tahan seperti telekomunikasi, utiliti dan pengguna.
"Kami juga berpendapat tumpuan mungkin beralih kepada stok bahan binaan dan pembinaan menjelang pembentangan semula Bajet 2023, dan sektor minyak dan gas boleh mencapai prestasi yang baik di bawah persekitaran harga minyak mentah Brent yang kukuh," tambahnya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB turun tiga sen masing-masing kepada RM8.67 dan RM5.79, Public Bank susut satu sen menjadi RM4.40, Petronas Chemicals lemah lapan sen kepada RM8.44 dan IHH Healthcare berkurangan empat sen menjadi RM5.91.
Bagi saham aktif, MMAG dan Zen Tech tidak berubah masing-masing pada tiga sen dan 4.5 sen, manakala Leform susut tiga sen menjadi 20 sen, SMTrack turun setengah sen kepada 5.5 sen manakala MQ Technology naik setengah sen kepada 5.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 15.79 mata kepada 10,528.72, Indeks FBMT 100 menguncup 16.21 mata menjadi 10,243.70 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 11.89 mata kepada 10,650.68.
Sementara itu, FBM ACE mengukuh 27.61 mata kepada 5,224.33 dan FBM 70 naik 22.90 mata kepada 12,719.247.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 53.65 mata kepada 16,595.40, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.33 mata menjadi 181.25, dan Indeks Tenaga menguncup 7.06 mata kepada 756.85, sementara Indeks Perladangan naik 8.54 mata kepada 6,815.77.
-- BERNAMA