Bursa Malaysia dibuka rendah walaupun pergerakan Wall Street mengukuh

Bernama
November 1, 2023 10:30 MYT
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.75 mata kepada 1,440.39. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini walaupun pasaran Wall Street ditutup lebih kukuh semalaman menjelang keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.75 mata kepada 1,440.39 daripada penutupan Selasa pada 1,442.14.
Indeks penanda aras utama dibuka pada paras 1,441.17, turun 0.97 mata.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 154 berbalas 98 manakala 216 kaunter tidak berubah, 1,882 tidak diniagakan dan 14 digantung.
Jumlah dagangan 141.22 juta unit bernilai RM52.05 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, dalam keadaan perdebatan berterusan sama ada Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah, ramai pelabur menjangkakan bank pusat AS akan menghentikan kenaikan kadarnya di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi AS yang kukuh walaupun inflasi kekal pada paras tinggi.
Purata Perindustrian Dow Jones melonjak 124 mata atau 0.38 peratus, manakala Nasdaq menambah 62 mata atau 0.48 peratus, walaupun hasil Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat kepada 4.92 peratus.
Sementara di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot 294 mata (1.69 peratus) kerana sentimen terjejas oleh penurunan yang tidak dijangka dalam aktiviti pembuatan China bulan lepas.
Di dalam negara, paras FBM KLCI memberi isyarat bahawa penyertaan pasaran kekal suram dan untuk hari ini, indeks penanda aras diunjur berlegar dalam julat 1,440-1,450.
Harga minyak mentah pula susut berikutan peningkatan dalam inventori apabila minyak mentah Brent merosot di bawah AS$88 setong.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Hong Leong Financial Group dan Maybank masing-masing turun dua sen kepada RM17.22 dan RM9.00, IHH Healthcare rendah empat sen kepada RM5.96, CIMB susut tiga sen menjadi RM5.68 dan CelcomDigi lemah satu sen kepada RM4.22.
Bagi saham aktif, Classita menambah setengah sen kepada tujuh sen, Kinergy Advancement (KAB) dan Compugates masing-masing menokok satu sen kepada 33 sen dan dua sen dan Tanco lemah setengah sen kepada 95.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 15.22 mata kepada 10,623.36, Indeks FBMT 100 turun 15.40 mata kepada 10,299.96 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 10.85 mata untuk mencatatkan paras 10,830.73.
Indeks FBM 70 berkurangan 33.55 mata kepada 14,004.32 dan Indeks ACE FBM kehilangan 29.25 mata kepada 4,688.16.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian peroleh 0.03 mata kepada 172.43 dan Indeks Perladangan meningkat 1.53 mata kepada 6,905.70.
Indeks Tenaga lemah 1.65 mata kepada 866.64 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 41.56 mata kepada 16,209.98.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #Fed AS #fbm klci #Wall Street
;