Bursa Malaysia dibuka rendah susulan prestasi semalaman Wall Street bercampur-campur

Bernama
Julai 12, 2024 11:45 MYT
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.93 mata kepada 1,620.19 daripada 1,623.12 ketika ditutup pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah semasa awal dagangan pada Jumaat, berikutan prestasi bercampur-campur di Wall Street dalam tempoh semalaman, apabila sentimen keseluruhan dipengaruhi oleh tanda-tanda bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan melaraskan kadar faedah pada September.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.93 mata kepada 1,620.19 daripada 1,623.12 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks itu dibuka 0.39 mata lebih rendah kepada 1,622.73.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 274 berbanding 144, manakala 303 kaunter tidak berubah, 1,746 kaunter tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 194.08 juta unit bernilai RM82.11 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur susulan pelabur beralih daripada syarikat teknologi mega ekoran angka Indeks Harga Pengguna yang rendah pada Jun selain kemungkinan besar penurunan kadar faedah pada September.
"Kami berpandangan minat belian mungkin semakin memperoleh momentum apabila jumlah dagangan harian melepasi paras lima bilion saham.
"Oleh itu, kami yakin indeks akan bergerak dalam julat 1,620 hingga 1,630 hari ini," katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia kebanyakannya berada di wilayah penurunan kecuali Petronas Chemicals, MISC, Sunway, Axiata dan KLK.
Maybank turun empat sen kepada RM10.02, Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM14.52, Public Bank kurang satu sen kepada RM4.11, dan CIMB menguncup dua sen kepada RM7.07 manakala IHH tidak berubah pada RM6.34.
Antara kaunter paling aktif, Nova dan Astro masing-masing turun dua sen kepada 18 sen dan 29 sen, manakala Aneka Jaringan naik dua sen kepada 20.5 sen.
G3 Global dan Hubline masing-masing mendatar pada 3.5 sen dan 7.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 27.59 mata kepada 12,554.73, Indeks FBMT 100 kurang 26.71 mata kepada 12,128.59; Indeks FBM Emas Syariah menguncup 21.11 mata kepada 12,942.58, Indeks 70 kurang 58.65 mata kepada 18,735.67 dan Indeks FBM ACE turun 9.04 mata kepada 5,932.95.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 47.68 mata kepada 17,746.38; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 201.03.
Indeks Tenaga meningkat 0.19 mata kepada 984.52, dan Indeks Perladangan naik 1.77 mata kepada 6,955.94.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #dibuka rendah #prestasi semalaman Wal Street #Rizab Persekutuan Amerika Syarikat