KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit hari ini berikutan kemunculan kegiatan pengambilan untung sederhana membabitkan saham wajaran tinggi terpilih, di tengah-tengah sentimen bercampur-campur di bursa serantau.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.93 mata kepada 1,459.69 daripada 1,460.62 pada penutup Rabu.

Indeks utama dibuka pada paras 1,459.98, turun sedikit sebanyak 0.64 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 202 berbalas 148, manakala 305 kaunter tidak berubah, 1,656 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan 393.26 juta unit bernilai RM131.31 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, dengan pergerakan negatif di Wall Street yang disebabkan oleh kebimbangan mengenai potensi kenaikan kadar faedah tahun ini serta kelembapan dalam aktiviti pembuatan di Jerman, aktiviti pengambilan untung dijangka merebak dan ini boleh mengehadkan potensi kenaikan harga di pasaran tempatan.

Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada paras RM9.18 dan RM9.96, Public Bank meningkat 1.0 sen kepada RM4.26, CIMB lebih tinggi 2.0 sen menjadi RM5.74 dan Petronas Chemicals susut 2.0 sen kepada RM7.10.

Bagi saham aktif, Classita, KNM Group, Saudee Group dan AHB Holdings, setiap satu kekal pada harga 8.5 sen, 12.0 sen, 3.0 sen dan 15.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 3.41 mata kepada 10,791.27, Indeks FBMT 100 susut 6.14 mata menjadi 10,456.94 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 13.71 mata kepada 10,952.89,

Indeks FBM 70 pula berkurangan 6.30 mata kepada 14,299.63 manakala Indeks FBM ACE turun 4.80 mata kepada 5,225.12.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 0.22 mata menjadi 864.81, Indeks Perladangan turun 1.03 mata kepada 6,857.93, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih rendah 0.77 mata kepada 172.69 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 28.99 mata kepada 16,521.52.

-- BERNAMA