KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini rendah sedikit di tengah-tengah sentimen berhati-hati berikutan prestasi tidak menentu di Wall Street, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.60 mata kepada 1,441.30 daripada penutupan Jumaat pada 1,441.90.

Indeks penanda aras dibuka 1.86 mata lebih rendah pada 1,440.40.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 177 berbanding 97 manakala 249 kaunter tidak berubah, 1,869 tidak diniagakan dan 76 digantung.

Jumlah dagangan 152.46 juta unit bernilai RM46.66 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street terus merosot apabila peniaga sebahagian besarnya tidak mengendahkan keputusan kewangan korporat baru-baru.

Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) kerugian 367 mata (1.1 peratus) tetapi Nasdaq menambah 47 mata (0.4 peratus), disokong terutamanya oleh Amazon manakala hasil 10 tahun AS kekal tinggi pada 4.845 peratus.

"Sementara itu, kami percaya aktiviti dagangan di bursa tempatan mungkin lengang menjelang musim pelaporan keputusan kewangan suku ketiga 2023.

"Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran dalam julat 1,435-1,445," kata Thong kepada Bernama.

Dalam pada itu, harga minyak mentah kembali meningkat, menyaksikan minyak mentah Brent ditutup melepasi paras US$90 setong berikutan ketegangan yang berlaku di Timur Tengah.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals turun empat sen kepada RM7.26, IOI Corp susut tiga sen menjadi RM3.89, Press Metal Aluminium lemah dua sen kepada RM4.86, Petronas Gas turun enam sen menjadi RM17.10 dan Tenaga Nasional rendah dua sen kepada RM9.85.

Bagi saham aktif, Asdion susut satu sen kepada lapan sen, Key Asic turun 1.5 sen menjadi 7.5 sen, Tanco tidak berubah pada 57.5 sen dan Mestron turun setengah sen kepada 45 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 2.97 mata kepada 10,631.03, Indeks FBMT 100 turun 2.77 mata untuk mencatatkan paras 10,304.23 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 5.96 mata kepada 10,840.16.

Indeks FBM 70 pula menambah 2.91 mata pada 14,000.62 dan Indeks FBM ACE naik 23.49 mata kepada 5,061.76.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.45 mata pada 172.28 dan Indeks Perladangan turun 7.31 mata menjadi 6,881.54.

Indeks Tenaga meningkat 1.15 mata kepada 875.73 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan peroleh 6.91 mata kepada 16,240.28.

-- BERNAMA