Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit, prestasi semalaman Wall Street bercampur-campur
Bernama
Oktober 3, 2023 11:20 MYT
Oktober 3, 2023 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini rendah sedikit sejajar dengan prestasi bercampur semalaman Wall Street serta data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Amerika Syarikat yang menunjukkan sektor itu masih dalam trend penguncupan, kata seorang peniaga.
Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.16 mata kepada 1,418.60 daripada penutupan Isnin pada 1,418.76.
Indeks utama dibuka pada paras 1,418.58, susut 0.18 mata.
Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 174 berbalas 113, manakala 259 kaunter tidak berubah, 1,749 tidak diniagakan dan 23 digantung.
Jumlah dagangan 169.70 juta unit bernilai RM66.76 juta.
Meskipun PMI Pembuatan AS meningkat kepada 49.0 bulan lepas, bacaan tertinggi sejak November 2022, ia masih merupakan bulan ke-11 berturut-turut bacaan itu kekal di bawah 50 dan ini sekali gus menunjukkan penguncupan dalam sektor itu.
Di dalam negara, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpendapat kenaikan semula yang pantas dalam bursa tempatan adalah perlu untuk mengelak fasa konsolidasi yang berpanjangan.
"Justeru, kami mengunjurkan kemunculan kegiatan memburu saham murah terutamanya dalam sektor utiliti," katanya kepada Bernama.
Untuk hari ini, indeks utama FBM KLCI dijangka berlegar antara 1,420 dan 1,430 julat.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, CIMB dan Petronas Chemicals, kesemuanya meningkat satu sen kepada RM8.76, RM5.41 dan RM7.08, Public Bank menambah dua sen untuk mencatatkan harga RM4.08 manakala Tenaga Nasional susut dua sen menjadi RM9.88.
Bagi saham aktif pula, Ekovest, Tanco, Meta Bright dan KNM masing-masing kekal pada harga 51.5 sen, 55 sen, 24 sen dan 14 sen sementara Hextar Industries meraih setengah sen kepada 40 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 5.83 mata kepada 10,533.07, Indeks FBMT 100 berkurangan 6.09 mata menjadi 10,198.26 dan Indeks FBM Emas Syariah kerugian 6.31 mata kepada 10,816.83.
Indeks FBM ACE pula rendah 4.13 mata kepada 5,141.98 dan Indeks FBM 70 kehilangan 29.66 mata kepada 14,102.59.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.17 mata menjadi 170.26, Indeks Tenaga menguncup 11.67 mata kepada 876.91, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 0.56 mata kepada 15,876.67 dan Indeks Perladangan menokok 9.51 mata kepada 6,862.65.
-- BERNAMA