Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pagi ini, sentimen serantau turut lemah

Bernama
September 8, 2023 11:30 MYT
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.57 mata kepada 1,459.50 daripada 1,460.07 pada penutupan Khamis. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit hari ini berikutan kegiatan pengambilan untung sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih selain seiring dengan sentimen lemah di bursa serantau kerana pelabur mula berhati-hati terhadap prospek ekonomi yang lemah.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.57 mata kepada 1,459.50 daripada 1,460.07 pada penutupan Khamis.
Indeks utama dibuka pada paras 1,459.54, turun sedikit sebanyak 0.53 mata.
Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 167 berbalas 164, manakala 302 kaunter tidak berubah, 1,690 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan 264.49 juta unit bernilai RM123.43 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, ia menjangkakan kemerosotan semalaman di Wall Street kemungkinan turut melimpah ke bursa tempatan hari ini.
"Memandangkan dua pilihan raya kecil di Johor akan diadakan hujung minggu ini, peniaga juga boleh mengambil sikap berhati-hati dan meneruskan aktiviti pengambilan untung dalam sektor pembinaan sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat, sambil mengalihkan tumpuan mereka kepada saham defensif atau yang ada nilai, " katanya dalam nota.
Firma pembrokeran itu turut menyatakan minyak mentah Brent didagangkan sedikit di bawah paras US$90 setong manakala harga minyak sawit mentah terus stabil di bawah paras RM3,800 satu tan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 2.0 sen kepada RM9.19, Public Bank tidak berubah pada RM4.25 manakala CIMB susut 1.0 sen kepada RM5.73.
Petronas Chemicals turun 3.0 sen kepada RM7.14 dan Tenaga Nasional lemah 2.0 sen kepada RM9.85.
Bagi saham aktif, Classita susut setengah sen menjadi 7.5 sen, Tanco Holdings tidak berubah pada 56 sen manakala Kanger International meraih setengah sen kepada 6.0 sen.
YTL Power menokok 10 sen kepada RM2.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 2.71 mata kepada 10,772.09, Indeks FBMT 100 berkurangan 3.33 mata kepada 10,444.57 dan Indeks FBM Emas Syariah kerugian 14.0 mata kepada 10,936.04.
Indeks FBM 70 menguncup 1.29 mata kepada 14,236.40 dan Indeks FBM ACE turun 8.91 mata kepada 5,179.66.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga memperoleh 0.24 mata kepada 864.73, Indeks Perladangan menokok 3.12 mata kepada 6,902.07 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 9.17 mata kepada 16,481.37.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula turun 0.62 mata kepada 172.50.
-- BERNAMA
#Bursa Malaysia #fbm klci #minyak mentah Brent #Wall Street
;